Jakim bimbang tindakan hukum pihak tidak sealiran cetus salah faham

Hakimah
Hakimah
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan mengeluarkan pandangan dan kenyataan bersifat menghukum pihak tidak sealiran fahaman dan ideologi, dikhuatiri boleh mencetuskan bibit perpecahan yang lebih serius serta mengancam keselamatan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya amat khuatir dengan perkembangan berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat dan mencemar kesucian ajaran Islam.

"Selaku Sekretariat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta badan yang diberi amanah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam di negara ini, Jakim amat khuatir dengan situasi ini.

"Sayugia diingatkan bahawa negara ini mempunyai pihak yang berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara yang perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jakim menyeru semua pihak agar menjaga dan memelihara keharmonian hidup bermasyarakat berbilang kaum, agama dan ideologi dalam negara demi mencapai matlamat membina negara sejahtera selaras prinsip Maqasid Syariah. - Bernama