X

Kindly register in order to view this article
!

Program Imunisasi Covid-19 fasa pertama di Pahang selesai

Wan Rosdy menyampaikan bantuan wang ihsan banjir kepada salah seorang penerima bagi daerah Kuantan dalam majlis di Dewan Orang Ramai Kampung Ubai di Kuantan, Pahang pada Isnin.
A
A

KUANTAN - Kesemua 32,175 penerima suntikan vaksin dalam kalangan petugas barisan hadapan bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri Pahang selesai menerima suntikan masing-masing.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri kini menunggu bekalan untuk fasa kedua melibatkan kira-kira 360,000 penerima dalam kalangan warga emas 60 tahun dan ke atas serta penginap penyakit kronik.

Menurutnya, pemberian suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa kedua dijangka bermula April ini.

"Fasa ketiga pula akan bermula Mei ini hinggalah Februari 2022 melibatkan kira-kira 700,000 penerima bagi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.

"Justeru rakyat negeri ini yang layak diminta supaya segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Ihsan Banjir Daerah Kuantan di Dewan Orang Ramai Kampung Ubai di sini pada Isnin.

Wan Rosdy menjadi penerima suntikan vaksin Covid-19 pertama di negeri ini pada 26 Februari lalu.

Beliau berkata, orang ramai yang layak diminta agar tidak teragak-agak untuk menerima suntikan itu yang diberikan secara percuma oleh kerajaan ketika ini dalam memastikan penularan pandemik itu dapat dibendung segera.

"Pada masa sama, saya nasihatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak menghasut atau cuba memberi gambaran tidak benar mengenai vaksin ini hingga boleh mengelirukan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, proses agihan wang ihsan banjir melibatkan 18,726 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam bencana banjir awal tahun ini dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Menurutnya, penerima bantuan tunai RM 500 melibatkan KIR sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau menumpang sementara di rumah saudara-mara semasa banjir baru-baru ini.

"Turut menerima manfaat ini golongan peniaga yang mana gerai atau rumah kedai mereka terjejas dalam bencana tersebut.

"Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM 9.4 juta bagi tujuan itu sebagai tanda prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan rakyat di negeri ini yang ditimpa musibah," katanya.

Seramai 2,542 penerima bantuan wang ihsan itu bagi Daerah Kuantan melibatkan peruntukkan kira-kira RM1.2 juta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!