Selangor teruskan saringan Covid-19 bersasar komuniti percuma

Amirudin (tengah) menyampaikan baucer Skim Mesra Usia Emas (SMUE) DUN Lembah Jaya di Laman Niaga@Ampang Waferfront, Ampang pada Sabtu.
Amirudin (tengah) menyampaikan baucer Skim Mesra Usia Emas (SMUE) DUN Lembah Jaya di Laman Niaga@Ampang Waferfront, Ampang pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Kerajaan Selangor akan meneruskan program ujian saringan Covid-19 bersasar komuniti secara percuma mengikut keperluan semasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun bekalan vaksin telah diterima, namun program tersebut akan diteruskan.

Beliau berkata, program tersebut merupakan usaha mengawal penularan Covid-19 dan bukan hanya menumpukan sasaran saringan kepada 50,000 orang penerima sebelum ini.

"Kita tumpu di kawasan yang sudah menjadi panas atau 'hotspot'. Kawasan ini kita tumpukan kerana bimbang wabak Covid-19 merebak kepada komuniti.

"Kalau sudah merebak ke komuniti dan kita tidak kenal pasti itu bahaya, ia akan jadi 'epid center'. Itu kita cuba elakkan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waferfront di sini pada Sabtu.

Amirudin berkata demikian sebagai mengulas mengenai status program ujian saringan percuma di Selangor selepas bekalan vaksin diterima.

Januari lalu, kerajaan Selangor mengumumkan Pakej Kita Selangor melibatkan peruntukan sebanyak RM73.87 juta bagi membantu rakyat dan pihak terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 13 Januari lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk ujian saringan bersasar secara percuma yang dijangka memberikan manfaat kepada 50,000 rakyat Selangor.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyenaraikan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai daerah sebagai penerima vaksin terawal sama seperti petugas barisan hadapan.

"Wajar mereka menerima vaksin kerana mereka bertugas di lapangan dan perlu menguruskan pusat-pusat vaksin. Jadi mereka perlu imun.

"Suntikan tersebut akan diberikan bagi fasa kedua dan seterusnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!