Pusat Persidangan Desaru Coast jadi pusat vaksinasi Covid-19

Desaru Coast dipilih sebagai lokasi pusat vaksinasi Covid-19 bagi daerah Kota Tinggi, Johor. - Foto Bernama
Desaru Coast dipilih sebagai lokasi pusat vaksinasi Covid-19 bagi daerah Kota Tinggi, Johor. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pusat Persidangan Desaru Coast di Kota Tinggi seluas 26,000 kaki persegi dijadikan pusat vaksinasi Covid-19 untuk Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan 2,000 petugas barisan hadapan di daerah Kota Tinggi.

Program vaksinasi yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan di pusat persidangan yang diuruskan oleh The Westin Desaru Coast Resort itu bermula 1 Mac lepas dan akan diteruskan hingga 11 Mac melibatkan petugas barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan, anggota tentera, polis dan bomba.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd, Roslina Arbak dalam kenyataan di sini pada Jumaat berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada sokongan syarikat dalam membendung penularan Covid-19.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil melahirkan penghargaan kepada Desaru Coast atas sumbangannya dalam program vaksinasi yang mencerminkan usahasama cemerlang antara sektor awam dengan swasta bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan ini.

“Desaru Coast dipilih sebagai lokasi pusat vaksinasi kerana ia mudah diakses oleh petugas barisan hadapan dan penduduk. Selain itu, Pusat Persidangan Desaru Coast juga luas dan selesa buat mereka yang akan menerima suntikan vaksin terutamanya untuk Fasa 2 yang melibatkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya berharap penduduk Kota Tinggi akan mengambil bahagian dalam program vaksinasi ini supaya daerah Kota Tinggi akhirnya menjadi zon hijau,” katanya.

Proses vaksinasi itu akan mengikut jadual dalam PICK yang menyaksikan langkah inokulasi petugas barisan hadapan dari Februari hingga April 2021, diikuti warga emas dan golongan berisiko tinggi dari April hingga Ogos ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: