Dua maut setiap hari dalam perjalanan pergi-balik kerja

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berucap pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Institusi dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) 2019 di Menara Perkeso hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berucap pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Institusi dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) 2019 di Menara Perkeso hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 890 kes kematian dicatat akibat kemalangan dalam perjalanan pergi-balik ke tempat kerja pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Ia menunjukkan penurunan berbanding tahun 2017 yang mencatatkan 924 kes kematian sama, katanya.

"Ini bermakna setiap hari purata dua orang yang pergi kerja tidak pulang semula ke rumah akibat terlibat dalam kemalangan maut," katanya selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada institusi dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 2019 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kes kemalangan pergi dan balik ke tempat kerja pada tahun lepas meningkat iaitu 35,195 berbanding 33,319 pada 2017 dengan kira-kira 74 peratus daripada kemalangan itu melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Oleh itu, kita berharap lebih banyak pihak bekerjasama dengan PERKESO melaksanakan program kesedaran kepada golongan pekerja, kita tidak kisah naikkan peruntukan bantuan kewangan asalkan program yang dijalankan memberi kesan positif dan boleh mengurangkan kes kemalangan pergi-balik kerja," katanya.

Mahfuz berkata, pada tahun ini PERKESO memperuntukkan Geran Bantuan Kewangan kepada 33 institusi dan NGO yang membuat permohonan melibatkan jumlah RM4,643,463.30.

Ia merangkumi 280 program seminar atau kursus, 225 program pencegahan kemalangan perjalanan, 87 khidmat runding cara, dua program penyelidikan dan pembangunan serta dua penerbitan video promosi.

Antara institusi dan NGO yang menerima peruntukan itu ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Artikel Berkaitan:

Mahfuz menambah aktiviti pencegahan pada tahun ini juga akan memberi tumpuan kepada pencegahan dalam kalangan golongan pekerja muda serta pekerja asing yang juga pencarum PERKESO mulai 2019. - Bernama