X

Kindly register in order to view this article
!

Produk kesihatan bernilai RM1.89 juta dirampas

Mohd Hairul Anuar (dua dari kanan) menunjukkan produk kesihatan berbentuk serbuk yang dirampas ketika sidang media di stor penyimpanan KPDNHEP Senai di sini pada Khamis.
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 18,940 produk kesihatan daripada sebuah syarikat perniagaan jualan langsung tidak berdaftar dianggarkan bernilai lebih RM1.89 juta dirampas menerusi satu operasi khas di Kempas di sini pada Rabu.

Semua barangan itu dirampas dalam operasi khas yang dijalankan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor membabitkan sebuah kilang penyimpanan pada jam 4 petang.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, operasi khas berkenaan dilakukan hasil risikan dan tinjauan selama dua minggu selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

"Dalam pemeriksaan yang dijalankan, seramai lima pekerja berada di dalam premis terbabit dan kesemua mereka telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Kita dapati sekotak produk kesihatan terbabit dijual harga RM100," katanya pada sidang akhbar di stor penyimpanan KPDNHEP Senai di sini pada Khamis.

Mohd Hairul Anuar berkata, siasatan dilakukan mendapati syarikat perniagaan tersebut telah beroperasi sejak tahun 2018.

"Produk syarikat berasaskan makanan tambahan dan suplemen kesihatan ini dipercayai telah diedarkan ke seluruh negara. Syarikat ini mempunyai ibu pejabat di Johor Bahru.

"Produk berkenaan dipercayai dibungkus di negara ini, namun negara pengeluar produk terbabit masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Jualan Langsung dam Skim Anti Piramid (AJLSAP) 1993," katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP mengingatkan orang ramai agar berhati-hati serta memeriksa dahulu latar belakang syarikat berkaitan pelesenan sebelum menyertai atau melibatkan diri dengan sebarang aktiviti atau perniagaan jualan langsung agar tidak menjadi mangsa penipuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!