Nelayan dakwa tak terima elaun sara hidup sejak Disember

Nelayan di daerah Sandakan dakwa tidak menerima elaun sara hidup nelayan sejak Disember lalu selepas kad nelayan mereka dikatakan sedang dalam proses pembaharuan. - Gambar hiasan 123RF
Nelayan di daerah Sandakan dakwa tidak menerima elaun sara hidup nelayan sejak Disember lalu selepas kad nelayan mereka dikatakan sedang dalam proses pembaharuan. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SANDAKAN - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 300 nelayan di daerah ini mendakwa tidak menerima elaun sara hidup nelayan sejak Disember lalu selepas kad nelayan mereka dikatakan sedang dalam proses pembaharuan.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan, Kasim Hasim berkata, masalah timbul selepas sebahagian nelayan pesisir pantai atau tradisional di daerah itu memperbaharui kad nelayan mereka namun perlu menunggu masa yang lama.

"Jika kad nelayan tiada, sukar untuk nelayan meneruskan proses bagi mendapatkan elaun sara hidup itu kerana perlu kad untuk dikemukakan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Kesukarannya di sini adalah apabila pihak Jabatan Perikanan Sabah Cawangan Sandakan kurang bertimbang rasa apabila enggan membantu nelayan mengeluarkan surat sebagai bukti kad nelayan sedang diproses atau resit yang boleh digunakan untuk dikemukakan kepada LKIM bagi mendapatkan elaun sara hidup nelayan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, kesukaran itu menyebabkan ramai nelayan daripada golongan berpendapatan rendah terjejas berikutan tidak menerima wang elaun sara hidup nelayan sejak tiga bulan lalu.

"Kebanyakan mereka ini adalah nelayan tradisional dan pendapatan tidak menentu jadi elaun sara hidup itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka," katanya.

Sehubungan itu, Kasim berharap ada campur tangan daripada pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi sebahagian nelayan di daerah itu.

"Selain masalah berkaitan kad nelayan, kami juga berharap yuran pembaharuan dan permohonan kad nelayan dapat dikurangkan yang kini berjumlah RM50 dan RM100.

Artikel Berkaitan:

"Kami terima penambahbaikan daripada kerajaan, namun perlunya ada timbang rasa atau toleransi daripada pihak berkaitan supaya nelayan tidak terbeban," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perikanan Sabah berhubung dakwaan nelayan terbabit.