Tiga nelayan Vietnam serang anggota Maritim cedera ditembak

Antara awak-awak dan tekong yang ditahan selepas didapati menceroboh perairan negara pada Selasa.- Foto Ihsan Maritim Kemaman
Antara awak-awak dan tekong yang ditahan selepas didapati menceroboh perairan negara pada Selasa.- Foto Ihsan Maritim Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Tiga nelayan Vietnam cedera selepas terkena serpihan tembakan yang dilepaskan oleh anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) kerana menceroboh perairan negara di kedudukan 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Pahang pada Selasa.

Anggota penguat kuasa Maritim terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas nelayan berkenaan bertindak agresif dan cuba menyerang anggota dengan senjata tajam dan objek keras semasa hendak diperiksa.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, Kapal Maritim (KM) Satria yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut mengesan dua bot nelayan asing Vietnam menceroboh perairan negara pada jam 5.25 pagi.

Menurutnya, selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kedua-dua bot tersebut melarikan diri namun berjaya dipintas.

"Ketika anggota merapat ke arah salah sebuah bot terbabit, mereka diserang oleh beberapa awak-awak yang bertindak agresif dengan bersenjatakan parang serta objek keras bagi menghalang daripada diperiksa.

"Anggota terpaksa melepaskan beberapa das tembakan amaran ke udara, namun tidak dihiraukan dan bagi mempertahankan diri, anggota melepaskan lagi tembakan amaran ke arah bot berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Jeti Zon Maritim Kemaman di sini pada Rabu.

Antara senjata tajam yang digunakan untuk menyerang dan mencederakan anggota penguat kuasa Maritim. - Foto Ihsan Maritim Kemaman
Antara senjata tajam yang digunakan untuk menyerang dan mencederakan anggota penguat kuasa Maritim. - Foto Ihsan Maritim Kemaman

Beliau berkata, namun disebabkan laut bergelora, dua awak-awak serta seorang tekong bot terkena serpihan tembakan itu.

Artikel Berkaitan:

"Bot bersama 19 awak-awak berusia antara 16 hingga 60 tahun itu ditahan pada jam 8.55 pagi dan dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman Terengganu pada jam 12 tengah hari, Rabu.

"Tiga nelayan yang cedera dibawa menerima rawatan di hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang. Nilai keseluruhan rampasan bot termasuk hasil laut negara ialah RM1.5 juta," katanya.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

"Maritim juga akan menyiasat dan mendakwa kru di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Tangkapan ini merupakan tangkapan ke-68 operasi Op Kuda Laut dengan melibatkan penahanan 795 awak-awak termasuk tekong dalam usaha mengekang jenayah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing," katanya.