Kesiapsiagaan Tentera Darat

A
A
A

MINGGU lalu seramai 1,769 lagi perajurit muda berjaya mengharungi tempoh enam bulan yang mencabar mengikuti latihan asas untuk bergelar warga Tentera Darat (TD) di Pusat Latihan Asas TD (Pusasda), Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mereka yang terdiri daripada 1,538 perajurit lelaki dan bakinya wanita menamatkan latihan dengan mematuhi prosedur standard operasi yang digariskan mengikut norma baharu ketika ini.

Majlis perbarisan tamat latihan yang telah disempurnakan oleh Panglima TD, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain itu membuktikan semangat generasi muda untuk menyertai pasukan bersenjata yang telah berusia 88 tahun ini tidak pernah luntur.

Di atas padang kawad yang sama jugalah pada 1 Mac 1933 seramai 25 orang pemuda Melayu diiktiraf sebagai tentera profesional oleh pihak kolonial apabila berjaya melepasi latihan keras bagi penubuhan Kompeni Percubaan Askar Melayu ketika itu.

Mereka adalah teras kepada kewujudan TD yang pada hari ini merupakan sebuah angkatan perang moden.

Bagaimana pun, pencapaian hebat dan membanggakan warga TD pada era lalu sebenarnya menjadi cabaran pada kepimpinan serta warga pasukan hari ini untuk mengekalkan kecemerlangan selain mencipta lebih banyak kejayaan.

Tidak dapat dinafikan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia khususnya TD dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memberi kesan yang besar bagi membantu pihak berkuasa seperti melaksanakan sekatan jalan raya, rondaan dan penguatkuasaan undang-undang awam.

Ini kerana kehadiran pasukan tentera sejak Mac tahun lalu memberikan impak yang tinggi terhadap keberkesanan ketika PKP dilaksanakan, malah penglibatan tentera juga telah membantu pihak berkuasa menangani situasi semasa.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama penugasan TD dalam Operasi (Ops) Benteng berjaya mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti penyeludupan yang amat membantu dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Ops Benteng di timur Johor sejak Mei tahun lalu misalnya berjaya menahan seramai 1,108 PATI selain 13 orang tekong darat dan 11 orang tekong laut dengan rampasan bernilai RM2.6 juta.

Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Ops Benteng kerana wujudnya perancangan risikan dan kerjasama erat khususnya antara polis dan TD melalui pasukan petugas di kawasan tersebut.

Keperluan bagi penugasan Ops Benteng juga menyaksikan kira-kira 200 jentera antaranya kenderaan pelbagai bentuk muka bumi, kenderaan pacuan empat roda dan motor lasak dibekalkan kepada pasukan-pasukan di perbatasan.

Kenderaan tersebut untuk membantu meningkatkan aspek mobiliti dalam penugasan Ops Benteng di sempadan negara sejajar dengan tonggak pertama Perintah Ulung Panglima TD iaitu kelangsungan misi dan kesiagaan.

Menyentuh soal aset baharu pula, sebanyak 18 laras sistem artileri LG1 Mark III Nexter 105mm (Nexter LG1 105mm) buatan Perancis telah diterima TD bagi gandakan kuasa tempurnya.

Nexter LG1 105mm yang mempunyai keupayaan tembakan lebih baik berbanding meriam sedia ada yang digunakan sejak 50 tahun lalu telah pun diuji merangkumi pengendalian meriam serta sub sistem bagi memastikan kebolehgunaan persenjataan ini.

Menanti untuk diterima TD ialah enam helikopter tempur ringan model MD 530G buatan Amerika Syarikat yang dijangka tiba pada Ogos ini setelah tertangguh lama berbanding jangkaan asal iaitu pada Julai 2017.

Jujurnya, enam helikopter bersenjata ini jauh daripada mencukupi jika mengambil kira keperluan aset berkenaan untuk ditugaskan mengawasi perbatasan negara nanti.

Selain perolehan aset baharu, aspek logistik khususnya kesediaan aset-aset sedia ada untuk diguna sama ada jentera atau persenjataan juga hendaklah berada pada tahap sepatutnya agar kebolehupayaan pasukan untuk siap siaga.

Begitu juga soal perumahan seperti penyelenggaraan kuarters serta penggantian rumah-rumah usang kerana ia juga menyuntik moral warga pasukan.

Mereka adalah teras kepada kewujudan TD yang pada hari ini merupakan sebuah angkatan perang moden.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu