Jangkitan Covid-19 di Selangor lepasi angka 100,000 kes

Kes jangkitan Covid-19 di Selangor kini sudah melepasi angka 100,000 kes.
Kes jangkitan Covid-19 di Selangor kini sudah melepasi angka 100,000 kes.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 453 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Selangor setakat jam 12 tengah hari Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu kini 100,346 kes.

Menurut data yang dikongsi Selangor Task Force Covid-19 (STFC) di Facebook rasminya, jumlah kes maut akibat Covid-19 di Selangor setakat ini seramai 284 orang.

STFC merekodkan jumlah mangsa yang sembuh meningkat 645 orang pada Isnin menjadikan jumlah yang sembuh ketika ini seramai 97, 311 orang.

Menurut STFC, disiplin dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta penjarakan fizikal yang diamalkan boleh menampakkan kesan positif.

Tambahnya, dengan pengamalan berterusan, Selangor mampu mencapai angka kosong semula seperti tahun lepas.

Dalam pada itu, STFC memaklumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang telah bermula di peringkat negeri Selangor akan diberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan dan pemimpin agensi kerajaan negeri.

“Jumlah keseluruhan petugas barisan hadapan yang bakal menerima vaksin untuk fasa pertama ialah sebanyak 66,690 orang.

“Kerajaan negeri juga melakukan saringan Covid-19 bersiri secara percuma bagi mengekang penularan. Warga Selangor boleh merujuk infografik berkenaan ujian saringan percuma ini di media sosial rasmi STFC,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 39 individu dikesan positif Covid-19 menerusi ujian saringan percuma dilaksanakan kerajaan negeri Selangor pada Sabtu dan Ahad lalu.

Katanya, seramai 1,283 individu tampil membuat saringan di empat lokasi berlainan pada dua hari berkenaan.

“Seramai 1,283 individu tampil membuat saringan Covid-19 menerusi program yang dilaksanakan kerajaan negeri pada Sabtu dan Ahad lalu di empat lokasi berlainan.

“Daripada jumlah itu, 39 individu dikesan positif. Ujian saringan percuma ini akan diteruskan minggu ini,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Pada Sabtu ujian saringan Covid-19 diadakan di Dewan Serbaguna (MPK) Pendamar Indah 2 di Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Ujian saringan turut diadakan di Dewan MBSA Seksyen 28 Shah Alam pada Sabtu.

“Pada Ahad pula ujian saringan dilaksanakan di Dewan Serbaguna (MBPJ) PJS 2C/6, Taman Dato Harun danDewan MPSJ Puchong Indah, Taman Puchong Indah,” katanya.