X

Kindly register in order to view this article
!

Foto kahwin dengan van jenazah

Mohd Humaidi bersama isteri bergambar di van jenazah.
A
A

DUNGUN - Perkahwinan adalah detik bersejarah bagi setiap pasangan untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih lengkap.

Pemandangan dan lokasi yang indah biasanya menjadi pilihan pasangan dua sejoli untuk merakam detik indah untuk diabadikan sebagai kenangan pada hari perkahwinan.

Berlainan bagi pasangan pengantin muda, Mohd Humaidi Asraf Hassan, 24 dan Khairunnisa Mohd Zaki, 22 apabila memilih untuk melakukan sesi fotografi di samping van jenazah.

Gambar perkahwinan mereka mendapat perhatian ramai dan tular di laman sosial Facebook apabila ia dianggap aneh, unik serta lain dari yang lain.

Ada cerita di sebalik foto berkenaan kerana Mohd Humaidi yang menggunakan nama ‘Serah Mayat’ di laman sesawang Facebook sebenarnya seorang pemandu van jenazah.

Mohd Humaidi berkata, memang menjadi impiannya untuk merakam gambar perkahwinan di samping van jenazah yang menjadi sumber pendapatannya.

Menurutnya, detik yang ditunggu- tunggu akhirnya tiba apabila dia melangsungkan perkahwinan pada 18 Ogos 2018.

“Memang niat saya nak ambil gambar kahwin di samping van jenazah.

“Jika orang lain sibuk ke tepi pantai dan mencari lokasi menarik yang lain, saya hanya tumpukan kepada van jenazah.

“Gambar berkenaan dirakam sejak enam bulan lalu tetapi sekarang baharu jurufoto serahkan kepada kami,”katanya kepada Sinar Harian.

Tak sangka foto kahwin dapat reaksi positif

Dia yang juga pemandu van jenazah di bawah Parlimen Dungun berkata, dia tidak sangka gambar yang dimuat naik mendapat reaksi positif netizen, malah status berkenaan turut dikongsi semula oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

“Terkejut juga lihat ramai netizen berikan reaksi positif sebaik sahaja gambar itu dimuat naik.

“Malah ramai yang memuji kerana mereka rasakan gambar itu kreatif dan ingatkan orang ramai kepada kematian.

Mohd Humaidi bersama isteri bergambar di van jenazah.
Mohd Humaidi bersama isteri bergambar di van jenazah.

“Tidak sangka pula walaupun berlatar belakang van jenazah, gambar itu kelihatan agak cantik dan menarik.

“Gambar ini sebenarnya sebagai simbolik kepada pekerjaan saya,”katanya.

Pandu van jenazah sejak 10 tahun lalu

Bercerita mengenai kerjanya, pemuda berasal dari Alur Tembesu berkata, dia sudah membawa van jenazah sejak 10 tahun lalu.

“Saya memang minat pekerjaan ini sejak dari kecil.

“Pada awalnya hanya menolong dan menemani ayah tetapi selepas itu saya ambil alih sepenuhnya.

“Sejak usia 15 tahun ketika masih dibangku sekolah saya sudah membuat pekerjaan ini.

“Habis sahaja sekolah sehingga sekarang, memang sepenuhnya saya menggalas tanggungjawab ini,”katanya.

Ketika anak muda lain sibuk mencari dan mengejar pekerjaan lebih mewah, dia selesa dengan tugas yang makin mendekatkan diri kepada penciptaNYA itu.

"Saya tidak berhasrat nak cari pekerjaan lain dan isteri serta keluarga sentiasa beri sokongan.

“Kerja ini juga perlu sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dan bila-bila masa sahaja kematian boleh berlaku,”katanya.

Kongsi pengalaman aneh sewaktu hantar jenazah

Mungkin segelintir masyarakat gentar dan meremang bulu roma apabila dikaitkan dengan jenazah tetapi tidak bagi pemuda ini kerana ketakutan perlu dibuang.

Tidak dinafikan dia pernah berdepan pengalaman pelik dan mistik ketika menghantar jenazah.

“Biasanya saya membawa jenazah seorang diri sahaja walaupun lokasinya jauh.

“Bukan sahaja di Terengganu tetapi jenazah dibawa untuk diserahkan kepada keluarga di seluruh pelusuk Malaysia dan paling jauh setakat hingga ke Kuala Perlis.

“Setakat ini tiada kejadian menakutkan atau terlalu aneh tetapi pernah juga ‘diganggu’.

“Pernah saya membawa jenazah pada jam 3.00 pagi tetapi selepas itu saya tidak boleh balik kerana diekori lembaga.

“Jam 5.00 pagi saya masih tidak boleh keluar dari kawasan itu...terasa ada benda ikut dan panggil.

“Sehinggalah ada motosikal yang melalui kawasan itu, baharulah saya boleh pulang,”katanya menceritakan pengalaman dilaluinya sebelum ini.

Katanya, kerja itu memerlukannya buang segala rasa takut dan fikirkan bakti kepada umat Islam serta agama.

“Tidak boleh simpan rasa takut dan kena buang jauh-jauh.

“Walaupun kerja ini agak mencabar, ia banyak membantu memudahkan urusan orang lain.

“Bila dapat bantu orang ramai, hati kita juga gembira,”katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!