Persoalan bakal terjawab

Keadaan tidak menentu melanda industri bola sepak negara selepas terkesan pandemik Covid-19. - Gambar hiasan FB JDT
Keadaan tidak menentu melanda industri bola sepak negara selepas terkesan pandemik Covid-19. - Gambar hiasan FB JDT
A
A
A

TANDA tanya mengenai beberapa perkara terutama soal penajaan Liga Malaysia (Liga-M) akan terjawab susulan pelancaran secara rasminya saingan liga tersebut yang akan diadakan di Hotel Zenith, Putrajaya pada Isnin.

Pelancaran liga tersebut dapat meredakan sedikit kegusaran peminat susulan keadaan yang tidak menentu melanda industri bola sepak negara terutamanya selepas terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19.

Malah, beberapa perkara seperti isu penajaan selain hak siaran langsung masih belum diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) walaupun saingan liga akan bermula minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memberitahu, beberapa perkembangan terkini akan dimumkan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam sidang media selepas majlis pelancaran tersebut.

“Dalam pelancaran tersebut mungkin ada pengumuman dari segi platform siaran langsung dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Namun, ketika mengulas mengenai isu penajaan, Ab Ghani meminta semua pihak memahami keadaan ekonomi semasa yang turut menjejaskan isu tajaan melibatkan saingan Liga-M.

“Untuk penajaan (Liga-M), semua orang kena faham mengenai situasi ekonomi sekarang. Kami masih boleh survive dengan penajaan yang ada. Apa pun kena tunggu sidang media esok (hari ini),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua syarikat gergasi dilaporkan sudi menjadi penaja untuk saingan Liga-M musim depan, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan badan pengelola liga tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, CIMB mengumumkan menarik diri daripada menaja Liga-M manakala syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula dikhabarkan bersedia kembali menjadi penaja.

Telekom Malaysia (TM) pula terus kekal komited untuk menjadi penaja utama Liga Malaysia pada musim depan, manakala F&N 100Plus juga meneruskan komitmen sebagai penaja Liga-M berbentuk barangan biarpun tidak meneruskan tajaan secara tunai seperti musim lalu.