X

Kindly register in order to view this article
!

Jurutera rugi RM20,000 ditipu individu menyamar rakan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar
A
A

ALOR SETAR - Seorang jurutera sebuah syarikat di Kulim Hi-Tech menanggung kerugian RM20,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai rakannya yang terdesak meminjam wang pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 56 tahun itu menerima WhatsApp daripada rakan dikenalinya yang terdesak mahu meminjam wang.

Katanya, mangsa menerima mesej daripada rakan dikenali sebagai Zamri yang mahu meminjam wang sebanyak RM5,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Jalan Pegawai, di sini kira-kira jam 8.35 malam.

"Mangsa terus membuat pindahan sebanyak empat kali ke tiga akaun berbeza melalui perbankan internet sebanyak RM20,000 tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

"Lelaki berkenaan mula curiga dan menyedari dirinya ditipu apabila suspek terus meminta mangsa membuat pindahan wang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi rakannya melalui telefon tetapi rakan itu menafikan ada menghubungi mangsa untuk meminjam wang.

"Rakan mangsa turut memberitahu bahawa WhatsApp miliknya telah digodam selepas menyerahkan nombor kod WhatsApp kepada nombor telefon yang tidak dikenali," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis pada hari sama di Alor Setar dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

Dalam perkembangan sama, Elias berkata, sebanyak 25 kes tipu kenalan membabitkan kerugian sebanyak RM100,216.76 sepanjang tahun lalu.

Katanya, sebanyak 11 kes tipu kenalan dicatatkan bagi Januari hingga Februari 2011 melibatkan kerugian sebanyak RM49,935.15.

Menurut Elias, jumlah kes tipu kenalan yang direkodkan meningkat ketara bagi dua bulan pertama tahun ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan panggilan atau WhatsApp dari kenalan yang tidak dikenali yang mendakwa kenalan lama atau keluarga kerana suspek mungkin menggunakan gambar mereka untuk menipu.

"Selain itu, polis turut menasihatkan orang ramai membuat pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi rakan atau keluarga melalui nombor sebenar mereka dan berhati-hati berkongsi maklumat peribadi di media sosial supaya tidak disalahgunakan oleh sindiket penipuan," katanya.

Katanya, orang ramai juga disarankan tidak membenarkan kenalan anda menggunakan akaun bank sebagai akaun tumpang kerana dikhuatiri untuk tujuan penipuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!