i-Sinar umpama talian hayat

Mohd Rizal (kanan) dan isterinya, Nor Hakiyah Abd Karim, 32 mula berniaga di gerai putu bambu mereka bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam di Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.
Mohd Rizal (kanan) dan isterinya, Nor Hakiyah Abd Karim, 32 mula berniaga di gerai putu bambu mereka bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam di Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Kebenaran kerajaan yang memudahkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui permohonan i-Sinar sedikit sebanyak berjaya membantu meringankan golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagi seorang bekas wartawan, Mohd Rizal Abdullah, 32, beliau bersyukur kerana i-Sinar menjadi talian hayat keduanya dalam mengekalkan perniagaan putu buluh atau putu bambu yang diceburi sejak Mac tahun lalu.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dua kali termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kota Setar tahun lalu jelas banyak memberikan cabaran besar kepada perniagaan francais yang diceburinya.

“i-Sinar ini memberikan nafas lega kepada golongan yang terkesan seperti diberhentikan kerja oleh majikan ataupun yang terpaksa berhenti disebabkan tempat kerjanya terpaksa ditutup.

“Saya yang antara berada dalam golongan tersebut bersyukur dengan kemudahan i-Sinar ini kerana mampu digunakan untuk kelangsungan hidup, mengekalkan perniagaan termasuk membayar tunggakan hutang,” katanya kepada Sinar Ahad ketika ditemui di gerainya di Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.

Putu bambu yang dijual Mohd Rizal mempunyai beberapa perisa antaranya, coklat, strawberi, cheese dan original.
Putu bambu yang dijual Mohd Rizal mempunyai beberapa perisa antaranya, coklat, strawberi, cheese dan original.

Mohd Rizal mengakui keuntungan bersihnya banyak menurun disebabkan oleh pelaksanaan PKP.

Dia akui risau dengan perkembangan tersebut namun pelaksanaan moratorium sebelum ini dan termasuk i-Sinar banyak meringankan beban dalam menguruskan kewangannya.

Artikel Berkaitan:

“Orang yang berniaga makanan seperti kami memang agak terkesan disebabkan oleh PKP sebelum ini. Sebab itu kami sangat bersyukur apabila diberikan kemudahan untuk memohon i-Sinar ini, terima kasih kerajaan,” katanya.

Mohd Rizal (kiri) bersama seorang pelanggan putu bambunya.
Mohd Rizal (kiri) bersama seorang pelanggan putu bambunya.