Sindiket curi elektrik lombong bitcoin tumpas

Mior Faridalathrash (tengah) bersama timbalannya, Datuk Mazlan Santarai (kiri) menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas dalam serbuan Op Bersepadu Bitcoin di Tapah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada Jumaat.
Mior Faridalathrash (tengah) bersama timbalannya, Datuk Mazlan Santarai (kiri) menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas dalam serbuan Op Bersepadu Bitcoin di Tapah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin membabitkan empat premis berasingan sekitar Tapah pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Op Bersepadu Bitcoin dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bersama sepasukan juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Batang Padang.

Menurutnya, polis merampas pelbagai barang bernilai RM500,000 dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut yang mengakibatkan kerugian besar kepada TNB.

"Kita merampas 221 unit mesin bitcoin bersama ‘power supply’, 12 unit mesin server, empat unit suis utama dan dua unit monitor.

"Turut dirampas satu unit pemprosesan komputer, satu unit papan kekunci dan tetikus, 12 unit modem internet dan 221 unit wayar penyambung berwarna hitam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini pada Jumaat.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan mampu mengaut keuntungan sehingga RM1.5 juta setiap bulan.

“Usaha mengesan pemilik premis serta suspek sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti kaitan antara serbuan itu dengan 24 premis lain yang diserbu di tujuh daerah sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya mereka mempunyai kaitan antara satu sama lain," katanya.

Sinar Harian melaporkan Polis Perak menumpaskan sindiket perlombongan mata wang kripto bitcoin yang beroperasi secara haram di negeri itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM2.2 juta.