294 majikan gagal patuhi akta penginapan pekerja

Keadaan rumah yang daif boleh menyebabkan majikan didakwa kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Keadaan rumah yang daif boleh menyebabkan majikan didakwa kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 294 majikan gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dikesan dalam operasi ke atas 326 majikan di seluruh negeri Kedah bermula 1 Februari hingga 24 Februari pada Rabu.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah, Arzanil Bahadur berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah majikan gagal mendapatkan perakuan penginapan pekerja dan belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut.

Katanya, selain itu, beberapa kesalahan di bawah Akta 446 turut dikesan termasuk ruang sesak, menempatkan pekerja asing berlainan jantina dalam penginapan yang sama dan tiada pengudaraan yang selesa serta kemudahan penginapan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Tindakan undang-undang di bawah akta berkaitan akan diambil terhadap majikan yang terlibat bagi memastikan usaha kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 dapat dijayakan.

"Kita juga akan memastikan pematuhan kepada akta yang dikuatkuasakan," katanya menerusi suatu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan oleh Pasukan Kerja Pematuhan Penginapan Pekerja Akta 446 (PPP Akta 446) negeri Kedah yang melibatkan pemeriksaan terhadap 636 tempat penginapan di seluruh negeri ini.

"JTK Negeri Kedah telah menubuhkan sebanyak sembilan pasukan Kerja PPP Akta 446 di seluruh negeri yang diketuai oleh JTK dan dianggotai oleh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan luar KSM.

"Selain itu operasi tersebut turut disertai oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, CIDB dan Jabatan Pendaftaran Negeri Kedah," katanya.

Artikel Berkaitan: