Pesara swasta rugi RM18,700 diperdaya 'anak'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang pesara swasta kerugian RM18,700 selepas terpedaya dengan suara seorang lelaki yang menyamar sebagai anaknya dalam kejadian Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, suspek memaklumkan telefon bimbitnya hilang dan dompetnya dicuri sebelum meminta untuk meminjam wang mangsa bagi membuat bayaran kepada pihak pembekal barang perniagaan.

Menurutnya, disebabkan suara suspek seakan-akan sama dengan suara anak lelakinya, mangsa yang menetap di Klebang di sini tanpa ragu-ragu membuat pindahan wang.

“Pada hari sama, mangsa yang pernah bekerja sebagai jurujual memasukkan wang RM18,700 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Selepas itu, suspek masih lagi meminta wang daripada mangsa menyebabkan dia curiga dan telah menghubungi anaknya di talian sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya, anak mangsa yang ketika itu sedang bekerja bagaimanapun menafikan menghubungi mangsa untuk tujuan meminjam wang.

“Mangsa yang berasa tertipu membuat laporan di Balai Polis Tengkera pada keesokan harinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: