Malaysia Airlines siap siaga terbangkan vaksin Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjelaskan ia telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menguruskan pengangkutan vaksin Covid-19.

Ketua Latihan di Akademi MAB, Kapten Rohaizan Mohd Rashid berkata, seramai 1,174 juruterbang dan 2,409 kru kabin telah dilengkapi dengan latihan secara langsung dan maya untuk memastikan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), terutama untuk mengekalkan kesahan lesen mereka.

Beliau berkata, kru kapal dikehendaki memiliki sehingga 23 kelayakan sebagai sebahagian syarat pelesenan.

“Secara asasnya, kami 100 peratus telah bersedia untuk menerbangkan vaksin ke Malaysia pada bila-bila masa dari seluruh dunia,” katanya pada taklimat media mengenai ‘Malaysia Airlines pastikan juruterbang cekap semasa tempoh pandemik Covid-19’ di Petaling Jaya, dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata, tiada latihan khusus diperlukan untuk mengendalikan pengangkutan vaksin selain latihan lazim, kecuali perlu sentiasa berhati-hati dan mengetahui suhu yang diperlukan bagi vaksin tertentu.

Rohaizan berkata, Akademi MAB telah membangunkan modul latihan dalam talian merangkumi latihan bagi pengawalseliaan dan bukan pengawalseliaan di samping mengekalkan piawaian latihan tertinggi, yang dijalankan oleh pengajar dalaman terlatih.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk membangunkan latihan realiti maya dan animasi bagi memudahkan program latihan tanpa ruang simulator fizikal olokan untuk juruterbang dan kru kabin.

“Jadi mereka tidak perlu datang ke akademi untuk berlatih di ruang pesawat olokan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Apabila dilengkapi dengan peralatan sesuai seperti gogal 3D, mereka dapat membayangkan diri mereka berada di dalam pesawat, menghidupkan butang yang bertindak balas secara interaktif,” katanya.

Beliau berkata, latihan animasi dapat menjimatkan kos berbanding latihan simulator yang sebenarnya.

Rohaizan berkata, akademi berusaha untuk mengatur program latihan ini pada suku ketiga 2021.

Selain itu, pembangunan baharu itu sedang dilaksanakan dan perbincangan lebih lanjut akan diadakan bersama pihak CAAM untuk kelulusan, seiring dengan langkah digitalisasi dalam latihan di Akademi MAB, katanya.

Beliau berkata, akademi itu juga merancang untuk memasarkan program latihan berkenaan sekiranya ia berhasil kepada syarikat penerbangan lain di Malaysia dan seluruh dunia.

Mengenai prospek latihan, masa depan industri penerbangan dijangka lebih baik disokong oleh program vaksinasi yang baru sahaja bermula di samping tahap kejayaan penstrukturan semula Malaysia Airlines, katanya.

Beliau turut berharap akademi itu akan berkembang dengan pengendali lain menyertainya untuk tujuan latihan, bergantung kepada keberkesanan program vaksin di seluruh dunia. - Bernama