[LAPORAN KHAS] Gelandangan kini masalah negara

Tinjauan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang dirakam Sinar Harian. Foto: Rosli Talib
Tinjauan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang dirakam Sinar Harian. Foto: Rosli Talib
A
A
A

ISU gelandangan kini menjadi satu masalah nasional sejak pandemik Covid-19 menular.

Ekoran daripada itu, beberapa negeri telah mengambil inisiatif menempatkan gelandangan di pusat transit seperti di Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Nation of Women National menganggarkan warga kota yang menjadi gelandangan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Gelandangan dari luar bandar yang bertambah hanya sekitar lima hingga tujuh peratus.

Rekod daripada Kementerian Wilayah Persekutuan pula menunjukkan seramai 3,326 individu pernah mendaftar masuk ke Pusat Transit Gelandangan dari Februari 2016 hingga Februari 2021.

Menurut Exco Kebajikan Nation of Women National, Suhana Roshandin, sebelum ini gelandangan terdiri daripada mereka yang berhijrah ke bandar namun tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup atas pelbagai sebab.

SUHANA
SUHANA

Artikel Berkaitan:

“Tapi semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami lihat orang bandar sendiri yang jadi gelandangan disebabkan mereka hilang pekerjaan dan kekurangan makanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Pada Julai tahun lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat memberitahu, sebanyak 23 pusat transit gelandangan telah pun dibuka terutama di kawasan bandar raya dengan 87 peratus penghuninya adalah lelaki.

Katanya, Kuala Lumpur mencatatkan bilangan gelandangan tertinggi hampir 50 peratus daripada 1,283 orang di seluruh negara diikuti Johor seramai 248 orang dan Sarawak berjumlah 145 orang.

Suhana berkata, bantuan bekalan makanan yang diberikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada kumpulan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur adalah mencukupi.

Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat kekurangan dari segi dana yang diperlukan untuk memberi kursus peningkatan kemahiran kepada gelandangan yang mahu memperbaiki keadaan hidup mereka.

Gaji harian

Sementara itu, Penggerak Dapur Jalanan Kuala Lumpur, Radzi Razak berkata, gelandangan kini diberikan istilah baharu iaitu rakan jalanan kerana kebanyakan mereka kehilangan pendapatan semasa PKP.

RADZI
RADZI

“Ada beberapa gelandangan yang kami temui secara bersemuka dan mereka ini datang daripada kumpulan yang kehilangan punca pendapatan.

“Kebanyakan miskin kota ini bergantung kepada gaji harian, jadi apabila pasar dan kedai makan tutup atau kurang operasi, maka mereka hilang kerja.

“Ia adalah kumpulan rakan jalanan yang menunjukkan peningkatan paling banyak semasa PKP.

“Ada juga yang merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja tetapi gagal disebabkan sektor ekonomi yang menguncup. Ada juga mereka yang tak mampu lagi membayar untuk tinggal di rumah orang tua,” katanya.

Jelas Radzi, kekerapan jumlah makanan yang diberikan semasa PKP 1.0 mencecah sehingga 400 hidangan seminggu berbanding 100 ke120 hidangan sebelum perintah tersebut dilaksanakan.

Katanya, buat masa sekarang, jumlah hidangan yang diberikan semakin berkurangan tetapi bagaimanapun ia masih lebih tinggi daripada sebelum PKP dilaksanakan pada Mac lalu iaitu antara 150 ke 200 setiap minggu.

Radzi berkata lagi, adalah tidak tepat sekiranya masyarakat beranggapan bahawa bantuan yang diberikan kepada golongan gelandangan di ibu kota sudah mencukupi.

“Cukup atau tidak bergantung kepada tempat. Rakan-rakan NGO yang memang melakukan kerja ini biasanya meliputi kawasan-kawasan berlainan di KL, ada tempat yang bantuan tidak dikoordinasi, ada yang bantuan kurang.

“Setakat ini kalau nak kata berlebihan kurang tepat kerana ia bergantung kepada siapa dan cara pemberian bantuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk semua pihak memperkemaskan koordinasi pemberian bantuan kepada gelandangan atau kumpulan miskin kota itu.

“Kami dan NGO lain turut memberi bantuan dan berkoordinasi dalam isu contohnya pastikan mereka dapat akses kepada bantuan kerajaan yang sedia ada seperti Baitulmal, zakat, Bantuan Prihatin Rakyat dan Bantuan Prihatin Nasional. “Ada juga NGO memastikan mereka boleh buat aduan MyKad ganti atau mendapatkan kerja dan sebagainya.

“Sayang apabila mereka tidak mendapat akses kepada bantuan kerajaan yang sepatutnya. Saya yakin kelancaran bantuan boleh ditingkatkan dengan koordinasi dan kerjasama NGO dan agensi berwajib,” katanya.