'Walaupun lega sekolah dibuka, bimbang tetap ada'

Nasarudin mengajar salah seorang anaknya menerusi PdPR ketika ditemui di Seremban pada Selasa.
Nasarudin mengajar salah seorang anaknya menerusi PdPR ketika ditemui di Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac ini sedikit sebanyak melegakan ibu bapa walaupun mereka masih bimbang dengan situasi semasa wabak Covid-19.

Pengusaha pencetakan plastik, Nasarudin Mohamed Samsuddin, 34, berkata, tiga orang anaknya berusia 11 hingga lapan tahun masing-masing tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan.

Nasarudin
Nasarudin

"Sungguh pun kami lega, namun kebimbangan itu tetap ada. Bagaimana pun saya yakin pihak sekolah mahupun ibu bapa sentiasa peka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Tambahan pula belajar secara bersemuka lebih mudah berbanding dalam talian," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Nasarudin turut berharap keputusan kerajaan membenarkan sekolah dibuka itu tidak berubah-ubah.

"Ada dalam kalangan ibu bapa dan penjaga menghadapi kesukaran untuk melakukan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), tapi kita juga faham situasi kerajaan dalam hal ini kerana keadaan sekarang benar-benar mencabar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pembantu perpustakaan, Suziana Assan, 37, berkata, segala persiapan sesi persekolahan anak-anaknya telah lengkap.

Suziana
Suziana

"Anak-anak teruja apabila mengetahui sesi persekolahan akan dibuka kerana mereka sudah puas 'cuti sekolah'.

"Tapi saya bimbang juga akan keadaan semasa. Cuma saya akan pastikan anak-anak mematuhi SOP dalam norma baharu ini," katanya.

Bagi pekerja swasta, Farah Suhaila Mohd Salleh, 35, pula, dia turut melahirkan rasa lega sekolah akan dibuka bermula Mac ini.

Farah Suhaila
Farah Suhaila

"Lega rasanya apabila anak-anak dapat belajar secara bersemuka dengan guru. Pelajar akan lebih faham, komited dan fokus dalam pelajaran masing-masing.

"Dalam kelegaan ini, timbul juga kerisauan berhubung pergaulan anak-anak bersama rakan-rakan di sekolah sama ada mereka mengikut SOP atau tidak walaupun ibu bapa dan guru sering mengingatkan mereka," katanya.