Hanya 35 peratus isi maklumat Banci 2020: DOSM

Banci 2020 telah bermula sejak 7 Julai lepas melalui pelaksanaan e-Census serta CATI.
Banci 2020 telah bermula sejak 7 Julai lepas melalui pelaksanaan e-Census serta CATI.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setakat 21 Februari, kira-kira 10.45 juta atau 35 peratus sahaja daripada 32.7 juta rakyat Malaysia telah mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai supaya mengisi maklumat bancian itu segera dan sekiranya mereka yang ingin membuat pengisian tanpa pertemuan bersemuka, boleh terus berbuat demikian melalui sistem e-Census yang masih dibuka.

Beliau berkata, Banci 2020 telah bermula sejak 7 Julai lepas dengan pelaksanaan banci dalam talian (e-Census) serta kaedah Temu Ramah Melalui Telefon atau (CATI) dan DOSM masih belum melaksanakan Banci 2020 secara besar-besaran melalui pertemuan bersemuka disebabkan kekangan penularan Covid-19.

“Apa yang dilaksanakan ketika ini, anggota kami bergerak membuat bancian bersemuka secara bersasar yang tidak ada kekangan dari segi pergerakan dan mengikut kesesuaian serta keselesaan komuniti setempat.

“Jika orang ramai tidak selesa dengan sistem e-census, anggota kami di lapangan akan membantu menggunakan sistem CATI atau kami boleh menghantar soalan soal selidik secara manual,” katanya dalam sesi soal jawab dalam program Hari Bersama Pelanggan DOSM 2021 secara maya pada Selasa

Banci 2020 telah dilaksanakan secara dua fasa yang pada asalnya tempoh fasa pertama 7 Julai hingga 30 September 2020 dan tempoh fasa kedua dari 7 hingga 24 Oktober 2020, namun tempoh pelaksanaannya telah dijadualkan semula. - Bernama

Artikel Berkaitan: