X

Kindly register in order to view this article
!

RM60 juta untuk pentadbiran, pembangunan di Kejora

Cha Zakaria (kiri) dan Richard Ong menandatangani dokumen dalam Majlis MoU Pajakan Tanah Industri Antara Kejora dan CKT Construction Sdn Bhd di Kota Tinggi pada Selasa.
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMASKINI] Kerajaan Persekutuan meluluskan lebih RM60 juta kepada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada tahun ini untuk pengurusan dan pembangunan dalam kawasan pentadbirannya.

Pengerusi Kejora, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM25 juta untuk emolumen, bekalan dan perkhidmatan.

"Bajet pembangunan pula melibatkan sebanyak RM35.20 juta iaitu program infrastruktur perparitan wilayah Kejora, penyediaan bekalan elektrik di kawasan tanaman campuran dan akuakultur serta pembangunan ladang fertigasi.

"Ini termasuk program infrastruktur pelancongan desa di Kejora dan Tanjung Balau, pembangunan pelancongan warisan Pulau Tanjung Surat dan pembangunan infrastruktur perumahan tersusun Kampung Kahang, Kluang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pajakan Tanah Industri Antara Kejora dan CKT Construction Sdn Bhd di Ibu Pejabat Kejora, Bandar Penawar di sini pada Selasa.

Che Zakaria mewakili Kejora, manakala Richard Ong mewakili CKT Construction Sdn Bhd. Hadir sama ialah Pengurus Besar Kejora, A Jalil Md Arsad.

Cha Zakaria (kiri) dan Richard Ong menandatangani dokumen dalam Majlis MoU Pajakan Tanah Industri Antara Kejora dan CKT Construction Sdn Bhd di Kota Tinggi pada Selasa.
Cha Zakaria (kiri) dan Richard Ong menandatangani dokumen dalam Majlis MoU Pajakan Tanah Industri Antara Kejora dan CKT Construction Sdn Bhd di Kota Tinggi pada Selasa.

Che Zakaria berkata, peruntukan itu juga untuk pembinaan jalan menghubungkan Kampung Johor Lama ke persimpangan Felda Air Tawar 2 di samping program pembangunan ekonomi dan keusahawanan serta program pembangunan modal insan.

Beliau berkata, Kejora juga akan membangunkan Bandar Penawar dan pantai-pantai di Desaru sebagai kawasan pelancongan antarabangsa.

"Kita sedang menaik taraf Muzium Nelayan di sini yang merupakan pertama di Malaysia dan akan dibuka tidak lama lagi. Begitu juga sedang menaik taraf tebing dan persisiran Pantai Tanjung Balau termasuk membina dataran di situ," katanya.

Mengenai MoU tersebut, beliau berkata, ia melibatkan kawasan hampir empat hektar di Bandar Penawar dengan nilai pajakan RM1.7 juta selama 30 tahun.

Katanya, tanah pajakan tersebut akan digunakan untuk pembangunan lot industri kecil dan sederhana (IKS) serta kilang perusahaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!