X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Malaysia terima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 esok

Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa sidang akhbar selepas melakukan simulasi pemberian vaksin Covid-19 peringkat kebangsaan di Kementerian Kesihatan pada Selasa.- Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Rabu untuk edaran ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, vaksin berkenaan yang dikeluarkan di Belgium dijadualkan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah pagi dari Singapura.

“Vaksin yang bakal tiba ini akan dihantar ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan simulasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini pada Selasa.

Khairy berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak esok (Rabu, 24 Februari), manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, pada Khamis (25 Februari).

Kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos selamat tiba di Malaysia melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang pada 21 Februari (Ahad).

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari ini dengan fasa pertama dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa kedua pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu ini yang menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan lebih awal daripada jadual asal pada 26 Februari. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!