X

Kindly register in order to view this article
!

Bentong mohon ubah status jadi Majlis Bandaraya

Zuraida (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada peniaga di Kompleks Perniagaan Pekan Tajau, Maran pada Isnin.
A
A

MARAN - [DIKEMASKINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberikan sedikit kelonggaran berikutan permintaan kerajaan negeri untuk menukar status Majlis Perbandaran Bentong kepada Majlis Bandaraya Bentong dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan tersebut berdasarkan kapasiti Bentong yang telah mencapai jumlah pendapatan ditetapkan namun jumlah penduduk masih belum mencapai 500,000 orang.

Menurutnya, KPKT melihat untuk memberi kelonggaran berdasarkan kapasiti dan pembangunan di daerah tersebut.

"Buat masa ini, hanya menunggu proses pentadbiran yang perlu diangkat oleh kerajaan negeri dan mungkin dalam bulan Jun boleh diluluskan.

"Selain Bentong, kita juga mendapat permintaan kerajaan negeri untuk menukar status Pekan ke majlis perbandaran dalam tempoh terdekat yang juga mengalami isu sama iaitu jumlah pendapatan sudah mencapai RM20 juta cuma jumlah penduduk masih belum mencapai tahap ditetapkan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Perniagaan Pekan Tajau di sini pada Isnin.

Beliau ditemui sempena lawatan rasmi ke Maran yang turut disertai Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib sebagai Ahli Parlimen Maran.

Zuraida turut mengucapkan tahniah berikutan status Kuantan yang telah bertukar status banda raya pada Ahad dan berharap ia menjadi pencetus kemajuan dan peningkatan ekonomi buat Pahang.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementerian juga akan membuat pembaharuan dengan memperkenalkan panduan baharu bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit dengan aktiviti pelancongan seperti di Cameron Highlands.

"Sebuah daerah pelancongan seperti Cameron Highlands untuk dinaik taraf perbandaran tidak mungkin akan mencapai jumlah penduduk ditetapkan jadi panduannya berdasarkan kedatangan jumlah pelancong.

"Kita juga akan perkemaskan panduan di tempat lain seperti di Tioman, Langkawi dan Pangkor, jadi panduannya sedikit berbeza," ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, peruntukan RM7 juta diluluskan untuk Maran bagi pelbagai tujuan pembangunan antaranya membaiki kerosakan yang dihadapi selepas banjir, sisa pepejal serta meningkatkan taraf ekonomi dan aktiviti penduduk tempatan selain meletakkan sasaran perubahan status ke majlis perbandaran pada 2022.

Menurutnya, kelulusan pembinaan sebuah balai bomba di Chenor akan diberikan pada tahun ini selain Gambang serta terdapat permintaan daripada kerajaan negeri untuk membina balai sama di Benta, Lipis dengan kos setiap satu balai bernilai RM4 juta.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!