X

Kindly register in order to view this article
!

JKM mohon perintah mahkamah hak penjagaan lima beradik

Laporan Sinar Harian pada Isnin (Said Sidup)
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan lima beradik yang hidup serba kekurangan tanpa ibu bapa di Kampung Binjal Pulau, Kubang Terap agar mereka boleh diserahkan kepada jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) iaitu saudara terdekat mereka.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Said Sidup berkata, keputusan tersebut dibuat atas faktor-faktor tertentu berdasarkan siasatan yang telah dilakukan pihaknya.

"Buat masa sekarang ini kita akan mohon perintah mahkamah untuk berikan kebenaran hak penjagaan sementara itu kepada saudara terdekat mereka iaitu emak sepupu yang tinggal berhampiran dengan rumah mereka.

"Kami juga akan membuat pemantauan bagi memastikan mereka dijaga dengan baik dan memastikan bantuan yang diterima sampai kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengorbanan budak 11 tahun jaga adik-beradik

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Farisha Mohd Ridzuan,11 tahun terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada empat adik beradik yang lain apabila kedua ibu bapa mereka kini dipenjarakan kerana kesalahan pengambilan dadah.

Anak kedua daripada lima beradik itu langsung tidak mengeluh malah komited menjalankan tugas yang terbaik buat abangnya, Muhammad Faris Abdullah,12, dan tiga adiknya, Muhammad Faisal, 6, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, dan Muhammad Faiz Farhan,1.

Mengulas lanjut, Said berkata, lima beradik tersebut juga akan menerima bantuan bulanan berjumlah RM900 sebulan daripada pihak JKM dalam waktu terdekat.

Katanya, pihaknya juga telah melakukan siasatan menyeluruh dan membuat pertemuan dengan lima beradik tersebut, termasuklah dengan datuk dan nenek yang tinggal bersama mereka.

"JKM juga telah menyerahkan tabung bantuan segera sebanyak RM300 kepada datuk dan nenek mereka untuk perbelanjaan harian.

“Dalam masa yang sama, daripada siasatan yang kami lakukan, kami dapati cucu-cucu mereka itu tidak bersekolah," katanya.

Dalam pada itu, Said berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menempatkan kedua-dua mereka di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2 bagi memastikan pelajaran mereka tidak terganggu selepas ini.

“Kami juga difahamkan yang paling bongsu antara lima beradik tersebut juga tidak mempunyai Mykid. Maka kita akan majukan juga perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: JKM bantu lima beradik tanpa ibu bapa


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!