Hafidz Roshdi fail hak penjagaan dua anak

Hafidz Roshdi
Hafidz Roshdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon, Hafidz Roshdi memfailkan permohonan hadanah iaitu hak penjagaan penuh dan interim dua anaknya iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili pelakon drama 'Tundukkan Playboy Itu' berkata, tuntutan hadanah penuh difailkan pada 18 April sementara interim pada Jumaat lalu.

Menurutnya, Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 29, selaku plaintif, menamakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebagai defendan.

"Hafidz memohon agar diberikan hak lawatan yang tetap memandangkan setakat ini berlaku kesulitan untuk Hafidz berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anak.

"Sesalinan dokumen mengenai permohonan tersebut akan diserahkan kepada pihak defendan atau peguam syarienya dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pemberita.

Walaupun tuntutan adalah melibatkan hak penjagaan penuh, namun beliau berkata, Hafidz terbuka untuk berbincang dengan defendan mengenai syarat lawatan komprehensif.

Hafidz dan Nurul Shuhada telah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah di sini pada 27 Februari lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga.

Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Pada 22 Februari, Hafidz dipercayai melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.

Kemelut rumah tangga salah seorang finalis Hero Remaja itu mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendakwa pelakon itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.