X

Kindly register in order to view this article
!

JKM bantu lima beradik tanpa ibu bapa

Laporan Sinar Harian mengenai kisah pengorbanan budak 11 tahun memikul tanggungjawab menjaga adik-beradiknya. Gambar kecil: Said
A
A

KOTA BHARU – Lima beradik yang hidup serba kekurangan tanpa ibu bapa di Kampung Binjal Pulau, Kubang Terap, Pasir Mas akan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM900 sebulan dalam waktu terdekat.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, pihaknya telah melakukan siasatan menyeluruh dan membuat pertemuan dengan lima beradik tersebut, termasuk dengan datuk dan nenek yang tinggal bersama mereka.

Menurutnya, JKM juga telah menyerahkan tabung bantuan segera sebanyak RM300 kepada datuk dan nenek mereka untuk perbelanjaan harian.

“Siasatan yang kami lakukan juga mendapati, cucu-cucu mereka itu tidak bersekolah. Jadi kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan pelajaran mereka tidak terganggu selepas ini.

“Kami juga difahamkan anak yang paling bongsu antara lima beradik tersebut juga tidak mempunyai Mykid. Maka kita akan majukan juga perkara ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Farisha Mohd Ridzuan,11, tahun terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada empat adik beradik yang lain apabila kedua ibu bapa mereka kini dipenjarakan kerana kesalahan pengambilan dadah.

Anak kedua daripada lima beradik itu langsung tidak pernah mengeluh malah komited menjalankan tugas yang terbaik buat abangnya, Muhammad Faris Abdullah,12, dan tiga adiknya, Muhammad Faisal, 6, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, dan Muhammad Faiz Farhan,1.

Walaupun tinggal bersama datuk dan nenek, namun datuknya kini tidak dapat bekerja kerana mengidap penyakit asma kronik manakala neneknya pula hanya berniaga secara kecil-kecilan, sekali gus memaksa Farisha menggalas tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga adik-adiknya dan memasak di rumah.

Mengulas lanjut, Said berkata, masih ada beberapa siasatan yang akan dijalankan pihaknya dan pemantauan tetap akan dijalankan secara berkala agar bantuan tersebut sampai kepada lima beradik berkenaan.

“Nasihat kami, jika ada berlakunya kes-kes seperti ini, orang ramai boleh melaporkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan terdekat atau menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam. Sama-samalah kita bantu mereka yang memerlukan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengorbanan budak 11 tahun jaga adik-beradik


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!