Vaksin sensitif terhadap suhu dan masa, proses simpanan perlu di tahap baik

Kerja-kerja memindahkan kotak-kotak berisi 312,390 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech ke dalam trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express dikawal ketat sejurus tiba di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA pada Ahad. - Foto Bernama
Kerja-kerja memindahkan kotak-kotak berisi 312,390 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech ke dalam trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express dikawal ketat sejurus tiba di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech bagi Covid-19 yang julung kali selamat tiba ke tanah air pagi tadi perlu berada di tahap terbaik sebelum disuntik kepada penerima.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik Bahagian Amalan & Perkembangan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Farahwahida Mohd Kasim berkata, vaksin merupakan produk yang sensitif terhadap suhu dan masa.

“Maksudnya kalau produk itu disimpan dalam suhu tertentu dan didedahkan dalam tempoh tertentu, jangka hayatnya boleh berkurangan. Kalau kita lihat perancangan oleh kerajaan meliputi semua aspek, kita bukan merancang sehari dua tetapi berbulan-bulan.

“Kita ada banyak perbincangan dalaman yang kita buat untuk pastikan vaksin dibawa masuk ini berkualiti dan potensi produk itu dapat dijaga sepanjang rangkaian pembekalan produk untuk diberikan kepada penerima vaksinasi dalam keadaan terbaik,” katanya dalam program khas “Malaysia Terima Vaksin COVID-19” pada Ahad.

Ahad pagi, pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan membawa 312,390 dos vaksin itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan digerakkan lebih awal daripada jadual asal.

Mengulas lanjut, Farahwahida berkata, vaksin jenis Comirnaty daripada Pfizer-BioNTech itu memerlukan suhu penyimpanan spesifik melibatkan julat suhu antara -60 hingga -90 darjah Celcius (°C) dan hanya mempunyai jangka hayat enam jam selepas dibuka untuk disuntik kepada penerima.

“Memang menjadi satu cabaran untuk proses penyimpanan dan pengedaran tersebut tetapi walaupun sukar ia tidak mustahil sebab kita di KKM sebenarnya ini bukan kali pertama menguruskan vaksin bagi tujuan program imunisasi, cuma kali ini dalam skala besar, dan keperluan penyimpanannya agak berbeza daripada vaksin sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KKM juga telah membuat beberapa pendekatan dalam memastikan kelancaran proses penyimpanan itu di setiap lapisan kumpulan pelaksana.

Ia bermula dengan garis panduan sistematik dalam memastikan pengurus atau vaksinator dapat menjalankan urusan pengendalian produk vaksin Comirnaty dengan baik serta membuat perancangan infrastruktur sokongan seperti keperluan peralatan, termasuk latihan khusus secara berfasa kepada pengendali vaksin. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: MASkargo kongsi kisah terbangkan vaksin Covid-19 ke tanah air

DHL berjaya hantar kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia

Vaksin Covid-19 pertama untuk Malaysia tiba pagi ini