X

Kindly register in order to view this article
!

Memahami keputusan Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan meluluskan rayuan Rosliza kerana sejak awal lagi dia tidak menganut agama Islam dan bukan mahu keluar daripada agama Islam.
A
A

MAHKAMAH Persekutuan adalah mahkamah tertinggi dalam hierarki badan kehakiman sivil negara. Selain Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di tangga paling bawah, kita ada tiga tangga lagi di bahagian atas, iaitu Mahmah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sekiranya satu kes itu telah sampai ke Mahkamah Persekutuan, tidak ada lagi rayuan boleh dibuat kepada mana-mana pihak lain.

Tidak ada rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong atau kepada Majlis Raja-Raja. Yang ada hanyalah mungkin pada satu hari nanti dia memohon (dan mendapatkan) keampunan daripada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Sultan. Untuk itu ada prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang negara kita.

Sebelum 2012, Mahkamah Persekutuan boleh bersidang dengan tiga hakim sahaja (korum ini sudah memadai). Mulai Januari 2012, korum minimum adalah lima hakim (prosedur ini diperkenalkan oleh Tun Ariffin, Ketua Hakim Negara pada masa itu). Dalam kes-kes yang rumit, melibatkan isu undang-undang yang rumit atau isu perlembagaan, tujuh hakim akan bersidang. Amat jarang sekali (boleh dikatakan luar biasa) sembilan hakim bersidang.

Keluarbiasaan itu berlaku baru-baru ini dalam kes Rosliza Ibrahim lawan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Rayuan Sivil NO: 01(f)-2-01/2020(B), di mana sembilan hakim bersidang (disebabkan pandemik Covid-19, dalam talian sahaja). Mereka terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan enam Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman bin Sebli, Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Isu utama dalam kes itu adalah seperti berikut: Sekiranya seorang kanak-kanak perempuan dilahirkan luar nikah, bapanya sahaja seorang Muslim tetapi ibunya penganut agama Buddha dan tidak pernah memeluk agama Islam, dididik dan dibesarkan oleh ibunya sehingga ibu meninggal dunia, adakah dia seorang Muslimat?

Tidak bernikah

Sewaktu Rosliza lahir pada 19 November 1981 di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, bapanya, Ibrahim dan ibunya, Yap Ah Mooi tidak bernikah. Pada Januari 1994, apabila Ibrahim memohon kad pengenalan Rosliza, Ibrahim menyatakan bahawa Rosliza beragama Islam, selain menyatakan keturunan Yap Ah Mooi sebagai orang Melayu.

Setahun kemudian, pada Januari 1995, sewaktu Ibrahim memohon kad pengenalan baru bagi dirinya, dia menyatakan bahawa dia beragama Islam dan telah berkahwin. Sebulan kemudian, pada Februari 1995, apabila Yap Ah Mooi memohon kad pengenalan bagi dirinya, dia menyatakan dia beragama Buddha, berketurunan Cina dan status sudah berkahwin.

Pada November 2008, Yap Ah Mooi membuat satu Akuan Berkanun menyatakan bahawa Rosliza adalah anak kandungnya, bahawa Ibrahim adalah bapa kanak-kanak itu, tetapi dan Ibrahim tidak pernah berkahwin, dan Rosliza tidak pernah dididik dan dibesarkan mengikut agama Islam. Pada tahun berikutnya (Februari 2009), Yap Ah Mooi meninggal dunia.

Permohonan di Mahkamah Tinggi

Pada permulaan kes, Rosliza memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat deklarasi bahawa dia adalah seorang bukan Islam. Permohonannya ditolak atas alasan bahawa dia gagal membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian.

Terkilan dengan keputusan itu, plaintif merayu ke Mahkamah Rayuan.

Menolak rayuan Rosliza, Mahkamah Rayuan sependapat dengan Mahkamah Tinggi, berasaskan keterangan bahawa Ibrahim dan Yap Ah Mooi telah berkahwin dan Rosliza adalah anak sah taraf.

Oleh itu, kata Mahkamah Rayuan, jika Rosliza mahu keluar Islam, dia perlu bawa kesnya ke Mahkamah Syariah. Mahkamah Rayuan juga menyatakan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (2007).

Tiga isu undang-undang

Di perenggan [20] penghakimannya, Mahkamah Persekutuan merumuskan tiga isu undang-undang yang perlu diputuskan olehnya, iaitu

(i) Sama ada Ibrahim dan Yap Ah Mooi telah berkahwin sebelum Rosliza dilahirkan,

(ii) Apakah Yap Ah Mooi itu orang Melayu dan beragama Islam, dan

(iii) Maksud sebenar seksyen 2 Enakmen Agama Islam Selangor 2003 (iaitu sekiranya bapa sahaja seorang Muslim, apakah anak yang lahir itu juga seorang Muslim?).

Di perenggan [45] Mahkamah Persekutuan menyatakan tidak ada believable proof (bukti yang boleh dipercayai) Ibrahim dan Yap telah berkahwin sebelum Rosliza lahir. Oleh itu, logical conclusion adalah bahawa perkahwinan itu tidak wujud sama sekali.

Di perenggan [47] Mahkamah Persekutuan mengesahkan bahawa Rosliza adalah illegitimate child (anak luar nikah) kerana Ibrahim dan Yap bukan suami isteri sewaktu dia dilahirkan.

Mengenai status Yap Ah Mooi, Mahkamah Persekutuan memutuskan di perenggan [50] bahawa wanita itu tidak pernah memeluk agama Islam. Tidak ada rekod dia memeluk agama Islam di mana-mana Pejabat Agama Islam negeri. Juga tidak ada bukti dia memeluk agama Islam sewaktu Rosliza dilahirkan dan ini diperkuatkan lagi dalam Akuan Berkanunnya. Oleh kerana dia bukan Islam, pastinya dia bukan Melayu.

Mengenai isu sama ada Rosliza boleh dianggap Muslimat hanya kerana bapanya sahaja seorang Muslim, bukan ibunya sekali, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa isu ini telah pun diputuskan dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018).

Perbezaan besar

Mahkamah Persekutuan menegaskan ada perbezaan besar antara tak pernah jadi Muslim (were never Muslims) dengan tak lagi Muslim (no longer Muslims). Katanya lagi, di mahkamah bawahan (Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan) Rosliza dianggap tak lagi Muslim, dan oleh kerana itu dia perlu membawa kesnya ke Mahkamah Syariah, seperti diputuskan dalam kes Lina Joy.

Katanya lagi, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tersilap menyatakan Rosliza adalah originally (pada asalnya) menganut Islam dan mahu keluar dari Islam. Sebenarnya, sejak awal lagi (ab initio) Rosliza tidak menganut agama Islam; ini bukan kes dia mahu keluar daripada Islam (not a renunciation case).

Akhir kata, rayuan Rosliza diluluskan dan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan diketepikan. Kesimpulannya, Rosliza bukan beragama Islam, tidak tertakluk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan juga tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.

* Datuk Salleh Buang ialah mantan Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan kini Timbalan Pengerusi Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!