Amanah persoal kerajaan benarkan kasino, pusat judi beroperasi

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan kasino dan pusat perjudian kembali beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya membantah keputusan itu yang disifatkan tidak kena pada masanya dan tiada keperluan untuk dibenarkan beroperasi.

Malah, katanya, judi membawa kepada implikasi negatif terhadap masyarakat, selain bukan tergolong dalam perkhidmatan perlu.

“Sukar difahami mengapa dalam tempoh kritikal ini kerajaan boleh benarkan kasino dan syarikat perjudian beroperasi semula. Walaupun terhad kepada golongan tertentu, namun ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Selasa, beberapa syarikat nombor ramalan dan pengendali kasino mengumumkan kembali beroperasi selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Syarikat terbabit turut menegaskan bahawa operasi perniagaan akan dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau turut meninjau operasi kedai ramalan ekor di bandaraya Alor Setar dan mendapati ia dibuka seperti biasa, manakala premis lain yang lebih perlu tidak beroperasi.

“Sesuatu yang mengejutkan masyarakat apabila Jemaah Menteri yang didokong oleh beberapa ulama dari Pas turut bersetuju dan tidak pernah membantah apabila kedai terbabit dibenarkan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Di mana tahap kematangan pemimpin Islam ini. Adakah ia keperluan dalam tempoh beberapa negeri masih berdepan PKP dan PKP Bersasar,” soalnya.

Beliau secara sinis mengucapkan 'tahniah' kepada kerajaan atas kejayaan itu apabila membuka ruang kepada amalan tidak bermoral berleluasa dalam kalangan umat Islam.