Mayat reput ditemui di Pantai Kemayang

Anggota polis sedang memeriksa mayat yang ditemui di Pantai Kemayang, Bachok.
Anggota polis sedang memeriksa mayat yang ditemui di Pantai Kemayang, Bachok.
A
A
A

BACHOK - Orang ramai yang melalui Pantai Kemayang, Tawang di sini 'digemparkan' dengan penemuan mayat reput pada petang Jumaat.

Mayat tanpa identiti dan jantina itu ditemui kira-kira dua meter dari kawasan gigi air pantai tersebut pada jam 5 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintenden Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, ketika ditemui mayat tersebut hanya memakai seluar pendek berwarna gelap.

"Bukan itu sahaja, kita juga gagal menemui sebarang dokumen berkait dengan pengenalan diri milik mangsa bagi mengesahkan dia adalah warga tempatan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal polis tidak menolak kemungkinan mangsa sudah meninggal dunia 10 hari lalu susulan bentuk fizikal pada tubuhnya.

Katanya, pengesanan jantina juga sukar dijalankan kerana mayat sudah reput sepenuhnya.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi, mendapati tiada sebarang senjata ditemui," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusrizal berkata, kes tersebut diklafikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk proses selanjutnya.

"Mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bagi proses pengecaman," katanya.

Sinar Online sebelum ini melaporkan, tiga rangka mayat telah ditemui disekitar Pantai Sri Telong, Pantai Kuala Kandis dan Pantai Melawi di Bachok.

Ketiga-tiga mayat itu ditemui pada 13 dan 2 Februari serta 14 Januari lalu.