MV Polaris masih di had sempadan ketika bergeser

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA – Kapal MV Polaris diyakini masih beraada dalam had garis sempadan pelabuhan Johor Bahru ketika insiden bergesel dengan kapal pengangkut pukal Piraeus berdaftar di Greece pada 9 Februari lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, meskipun Singapura dakwa Polaris berada dalam perairan pertikaian namun, Malaysia yakin kapal pemantau milik Jabatan Laut Malaysia itu masih berada dalam had sempadan negara dan isu tersebut akan dijelaskan kepada republik itu.

“Polaris berada dalam had garis sempadan pelabuhan Johor Bahru, itu pendirian kita, tapi disebabkan ia perairan pertikaian, Singapura sudah pasti mempertikaikan perkara itu. Bagaimanapun, kita yakin bahawa Polaris berada dalam had sempadan negara.

“Pendirian ini sudah disuarakan kepada Singapura, tetapi mereka masih mendakwa bahawa Polaris dalam perairan pertikaian, isu ini kita akan selesaikan,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan pelancaran buku ’10 Falsafah Untuk Malaysia Sederhana’ di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Jabatan Laut Malaysia menahan kapal pengangkut pukal berdaftar di Greece, MV Pireas susulan kejadian pelanggaran dengan kapal MV Polaris yang berlaku di perairan Malaysia.

Kementerian Luar mengesahkan kapal pengangkut pukal, MV Pireas berlanggar dengan MV Polaris, milik Jabatan Laut Malaysia dalam kawasan perairan negara pada jam 2.26 petang.

Katanya, MV Pireas dilihat memasuki Had Pelabuhan Johor Bahru, dalam perairan Malaysia pada jam 2.15 petang.

“Ketika berkomunikasi dengan MV Polaris, MV Pireas memberi maklum balas kapal itu menjauhkan kedudukannya dari MV Polaris.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun komunikasi yang jelas dan definitif diberikan, pelanggaran berlaku sehingga kedua-dua kapal berjauhan antara satu sama lain pada jam 2.36 petang.

“Jabatan Laut Malaysia menahan kapal Greece itu dan anak kapal bagi tujuan siasatan awal mengikut Seksyen 334(1) Ordinan Perkapalan Malaysia 1952,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin menafikan pertikaian insiden itu berpunca angkara tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian melakukan rondaan di sempadan kedua-dua negara pada 9 Januari lalu.

“Ini tiada kena mengena dengan lawatan Menteri Besar Johor, hanya membabitkan perairan pertikaian.

“Kedua-kedua negara saling berhubung, malah setiap masa kita berunding pelbagai perkara,” ujarnya.

Insiden perlanggaran itu yang berlaku ketika Polaris bertugas memantau keselamatan kapal-kapal yang belayar di perairan sekitar pelabuhan Johor Bahru.