PPR kini dinamakan Rumah Malaysia: Zuraida

Zuraida
Zuraida
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dinamakan sebagai Rumah Malaysia selepas ini dengan 4,120 unit rumah baharu akan dibina yang melibatkan 11 lokasi di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tiga projek Rumah Malaysia akan dibina di Johor melibatkan daerah Sembrong, Kluang dan Pengerang sebagai permulaan.

"Keluasan Rumah Malaysia berjumlah 900 kaki persegi berbanding PPR hanya berjumlah hanya 600 hingga 750 kaki persegi. Rumah Malaysia juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan, tempat solat dan taman permainan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Persana Fasa 1 dan PPR Taman Perling di Double Three Hilton Hotel di sini pada Jumaat.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil serta Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis.

Zuraidah berkata, dalam tempoh tiga bulan selepas Rumah Malaysia siap, perlu diisikan dan kerajaan negeri bertanggungjawab mendapatkan senarai pembeli atau mereka yang layak mendudukinya.

Kata beliau, syarat itu merupakan polisi baharu pihak kementeriannya dan projek rumah tersebut tidak boleh dibiarkan kosong kerana akan mendatangkan kerosakan selain menjadi buruk serta terbiar.

"Sekiranya pembeli Rumah Malaysia mempunyai masalah pinjaman dengan pihak bank kerana masih belum diluluskan, kita akan berikan mereka peluang dengan menyewa rumah itu untuk tempoh dua tahun dengan kadar sewaan yang kita tetapkan.

"Tempoh dua tahun ini untuk memberi peluang kepada pembeli menguruskan pinjaman dengan bank. Sekiranya dalam tempoh ini ada masalah lagi dan tidak dapat kumpul duit untuk beli rumah, kita beri tempoh lanjutan setahun lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi yang benar-benar miskin dan tidak mampu membeli Rumah Malaysia katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberikan pengecualian bagi membolehkan mereka mendapat kediaman.

Sementara itu, beliau berkata, KPKT akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk merobohkan flat-flat lama di Johor dan membina yang baharu disebabkan kos penyelenggaraan tinggi selain sudah tidak sesuai lagi untuk dibaik pulih.

"Kita lihat ada flat yang terlalu lama dan lusuh dengan masalah lif rosak. Bukannya KPKT tidak mampu selenggara tetapi sudah tidak ekonomik dan tidak sustainable (lestari) lagi. Ini kita cadangkan kepada kerajaan negeri," katanya.