Penjawat awam di KL, Putrajaya dan Labuan dapat cuti ganti pada 2 Februari - JPA

PUTRAJAYA - Penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menikmati satu hari cuti gantian pada Isnin, 2 Februari, susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam pada Ahad, 1 Februari ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan penetapan itu selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memperuntukkan sekiranya mana-mana hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am.
"Walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya akan menikmati tundaan hari kelepasan am pada hari berikutnya iaitu 2 Februari (Isnin).
"Bagi pegawai perkhidmatan awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan hari kelepasan am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari (Ahad) juga pada 2 Februari,” menurut kenyataan itu.
JPA memberitahu penetapan cuti gantian akibat pertindihan tersebut seperti yang dinyatakan dalam siaran media mengenai cuti umum sempena perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah bagi pekerja swasta pada 1 Februari 2026, yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada 31 Disember lepas adalah tidak terpakai kepada penjawat awam.
Dalam kenyataan berkenaan, JTKSM memaklumkan cuti Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta tidak boleh diganti selaras dengan peruntukan seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265). - Bernama
Ringkasan AI
- Penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mendapat cuti gantian pada 2 Februari
- Ini berikutan pertindihan Hari Wilayah Persekutuan dengan Hari Thaipusam pada 1 Februari
- Jabatan Perkhidmatan Awam mengumumkan penetapan cuti susulan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951
- Cuti gantian ini tidak terpakai kepada pekerja swasta sempena perayaan yang sama
- Cuti Hari Wilayah adalah cuti wajib bagi sektor swasta di wilayah-wilayah tersebut mengikut Akta Kerja 1955
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

