Sindiket pengedaran dadah tumpas

Antara dadah yang dirampas dalam operasi yang dijalankan pada Selasa lalu.
Antara dadah yang dirampas dalam operasi yang dijalankan pada Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas memberkas empat individu di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara lingkungan 20 hingga 23 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah kereta kira-kira jam 2.35 petang.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Polis menemui dadah disyaki jenis ganja seberat 5,022 gram dan wang tunai berjumlah RM450 dalam kereta berkenaan.

"Hasil siasatan, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam dan menemui dadah disyaki jenis ganja seberat 6,047 gram," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki positif dadah jenis ganja tetra hydrocannibol (THC) dan salah seorang daripada mereka pula mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Adnan berkata, hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan yang lalu dan jumlah keseluruhan rampasan dadah boleh dibekalkan kepada 11,069 orang pengguna dadah.

"Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM28,122," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Dua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula pada 17 hingga 23 Februari, manakala dua lagi suspek ditahan reman pada 17 hingga 20 Februari di bawah seksyen yang sama," katanya.