Wartawan perlu jadikan Imam Bukhari contoh ikutan

Dari kiri: Fazrul, Mohamad Saleeh, Abdullah Bukhari dan Ahmad Tirmizi (kanan) pada program Wacana Al-Quran Siri 87 bertajuk ‘Wartawan Al-Quran: Nilai & Integriti yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa. (FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR)
Dari kiri: Fazrul, Mohamad Saleeh, Abdullah Bukhari dan Ahmad Tirmizi (kanan) pada program Wacana Al-Quran Siri 87 bertajuk ‘Wartawan Al-Quran: Nilai & Integriti yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa. (FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR)
A
A
A

SHAH ALAM - Wartawan atau penulis perlu menjadikan periwayat hadis terkemuka, Imam Bukhari sebagai contoh ikutan kerana sikap beliau yang amat menitikberatkan kesahihan sesuatu hadis.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Saleeh Rahamad @Ahamad berkata, sebagai wartawan, mereka bertanggungjawab menentukan kesahihan fakta dan maklumat sebelum menyampaikan kepada masyarakat.

MOHAMAD SALEEH
MOHAMAD SALEEH

“Seseorang wartawan itu perlu menjadi seperti Imam Bukhari yang sentiasa memastikan hadis yang ditulis sahih dan tepat. Selagi benda atau maklumat itu boleh menimbulkan keraguan, janganlah kita tulis.

“Kesahihah fakta adalah perkara utama kerana ia bukan sahaja memberikan implikasi dari sudut undang-undang kepada wartawan itu sendiri, bahkan kesilapan fakta atau memanjang-manjangkan kepalsuan, kesannya berat sekali.

“Tugas wartawan ini sangat besar kerana mereka ini kuasa keempat, merekalah yang menentukan jatuh dan bangunnya sesebuah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran Siri 87 bertajuk ‘Wartawan Al-Quran: Nilai & Integriti yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program itu turut menampilkan Pensyarah CELPAD, IIUM dan juga Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (MURSHID), Abdullah Bukhari Abdul Rahim manakala Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari jemputan, Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan surah Al-Baqarah, ayat 121 dan surah At-Taubah ayat 124.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Saleeh yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) berkata, sebagai golongan profesional, wartawan perlu berpegang kepada kod etika dalam bidang penulisan bagi membezakan diri mereka dengan individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat.

Katanya, keadaan kini memperlihatkan ramai yang menjadi wartawan dan boleh menulis serta menyebarkan maklumat dengan mudah kerana perkembangan teknologi canggih.

“Sebagai makhluk, kita bertanggungjawab secara vertical kepada ALLAH SWT dan horizontal terhadap manusia dan alam sekitar. Jangan jadikan penulisan kita mudarat, sebaliknya ia memberikan kebaikan serta manfaat kepada orang lain.

“Bakat menulis adalah amanah daripada ALLAH yang perlu kita jaga dan pertahankan sampai bila-bila,” katanya.

Justeru katanya, sebagai wartawan Islam, mereka perlu sentiasa merasakan dalam perhatian serta pengawasan ALLAH SWT.

“Jangan langgar kebenaran dan campur aduk dengan kesalahan.

“Seorang wartawan Islam hendaklah sentiasa mengharapkan reda ALLAH SWT, bukan pujian daripada mana-mana pihak. Ini sahaja sudah cukup untuk mengawal kita.

“Selagi penulisan kita tidak melanggar undang-undang, tidak menimbulkan keaiban dan kegusaran dalam masyarakat, ia tidak menjadi masalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seiring dengan kemajuan, dunia kewartawanan juga sedang menginjak pada satu fasa baru apabila wartawan warga (citizen journalism) kini memberi cabaran baru pada dunia kewartawanan tradisional.

“Ruang wartawan warga sangat bebas memandangkan mereka tidak bekerja dengan mana-mana syarikat penerbitan. Mereka bebas menulis di mana-mana portal atau pelantar maya masing-masing.

“Ini lebih bahaya sebenarnya kerana ada yang tidak bertanggungjawab dan memanjang-manjangkan kepalsuan.

“Namun mereka ini tidak terlepas dari dibelenggu deretan akta yang mungkin mereka dikenakan tindakan seandainya isu yang diperdebatkan bersifat memfitnah dan menyabarkan berita yang tidak sahih,” katanya.