Sindiket curi elektrik tumpas, TNB rugi RM8.6 juta

Ayob Khan menunjukkan mesin perlombongan bitcoin yang dirampas dalam beberapa operasi di empat daerah pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Johor Bahru, pada Rabu.
Ayob Khan menunjukkan mesin perlombongan bitcoin yang dirampas dalam beberapa operasi di empat daerah pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis melumpuhkan sindiket perlombongan bitcoin yang mencuri arus elektrik selepas menahan tujuh lelaki dalam operasi besar-besaran di empat daerah di negeri ini pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tujuh suspek warga tempatan berusia antara 24 hingga 64 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan pasukan Seal Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam operasi itu juga sebanyak 1,746 unit mesin melombong bitcoin bernilai RM2.6 juta dirampas di 21 premis iaitu lima premis di kawasan Johor Bahru Selatan, Seri Alam (8), Tangkak (6) dan Muar (2).

"Setiap unit mesin melombong bitcoin berkenaan memerlukan satu kuasa kuda (horsepower) seperti digunakan alat pendingin hawa untuk berfungsi selama 24 jam.

"Satu unit mesin bitcoin ini boleh didapati secara atas talian pada harga RM200 hingga RM3,000 mengikut kapasiti yang berbeza," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini pada Rabu.

Menurutnya, operasi dilakukan selepas sebulan risikan dan polis berjaya menumpaskan kegiatan mengubah suai pendawaian elektronik dengan tujuan mencuri arus elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin itu.

"Sindiket yang aktif beroperasi sejak awal tahun lalu ini menjalankan kegiatan mereka di tingkat atas premis rumah kedai bagi mengelakkan di kesan pihak penguatkuasa," katanya.

Jelasnya, suspek yang ditahan itu berperanan sebagai penyelenggara premis tersebut bagi memastikan operasi perlombongan bitcoin berjalan lancar selain memastikan tidak berlaku masalah.

Artikel Berkaitan:

"Melalui penangkapan ini kita percaya dapat menumpaskan sindiket terbabit. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket serta ahli lain yang masih bebas," katanya.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket tersebut turut mempunyai rangkaian di negeri lain yang menjalankan modus operandi sama.

Sindiket berkenaan menyebabkan TNB mengalami kerugian mencecah RM8.6 juta.

Jelasnya, mengikut TNB Johor, pada tahun lalu TNB Johor mengalami kerugian sekitar RM90 juta akibat aktiviti mencuri arus elektrik bagi kegiatan melombong bitcoin.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan melakukan khianat ke atas harta benda milik TNB, katanya.

TNB juga katanya, akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 ke atas pemilik akaun yang berdaftar dengan TNB.

"Kita sedang melihat kesesuaian, mengkaji sama ada kita boleh mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kerana aktiviti ini menyebabkan TNB dan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.