Operasi besar-besaran sita 57 motosikal

JPJ Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 di seluruh ibu negara dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
JPJ Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 di seluruh ibu negara dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita 57 buah motosikal menerusi empat siri Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023, baru-baru ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, antara jenis motosikal yang disita ialah Yamaha Y15ZR, Honda EX5 dan Yamaha 125Z ketika operasi yang dijalankan pada 20 hingga 21 dan 24 hingga 25 April lalu.

Katanya, antara sebab utama sitaan dilakukan ialah penunggang tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insuran tamat tempoh melebihi satu bulan selain ubah suai motosikal.

"Selain itu, JPJ Kuala Lumpur turut memeriksa sebanyak 2,144 kenderaan selain 1,058 notis dikeluarkan.

"Bagi kesalahan berkaitan lesen memandu, sebanyak 403 notis dikeluarkan meliputi kesalahan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh dan tidak pamer pelekat P. Bagi kesalahan melibatkan LKM dan Insurans, sebanyak 465 notis telah dikeluarkan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Zaki turut terlibat Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mohd Zaki turut terlibat Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd Zaki berkata, operasi motosikal ini adalah strategi pihaknya dalam memastikan pengurusan aktiviti penguatkuasaan HRA 2023 dilaksanakan dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan dan kematian akibat jalan raya.

Katanya, penguatkuasaan strategik 24 jam secara sekatan jalan raya di laluan motosikal melibatkan beberapa lokasi laluan utama.

"Fokus kesalahan utama adalah berkaitan lesen memandu, LKM dan insurans, pemakaian topi keledar dan nombor pendaftaran, cermin sisi serta kesalahan teknikal," ujarnya.

Jelas beliau, dalam memastikan kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat berteraskan slogan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’, pihaknya telah menguatkuasakan dengan tegas bagi pematuhan peraturan dengan memberi tumpuan terhadap tujuh kesalahan yang dianggap punca kemalangan.

"Tujuh kesalahan itu ialah tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, tidak mematuhi had laju, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai topi keledar atau tali pinggang keledar serta memotong barisan," katanya.

JPJ Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 di seluruh ibu negara dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
JPJ Kuala Lumpur melaksanakan Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 di seluruh ibu negara dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Tambahnya, operasi ini juga dijalankan dengan kerjasama bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.