Keluarga Siti Masitah tak simpan dendam terhadap suspek

Adik Siti Masitah, Mohd Khairi Tarmizi menyeka air mata Solihah ketika ditemui media di rumahnya di Kampung Kemahang, hari ini.
Adik Siti Masitah, Mohd Khairi Tarmizi menyeka air mata Solihah ketika ditemui media di rumahnya di Kampung Kemahang, hari ini.
A
A
A

PEKAN - Ibu Siti Masitah Ibrahim tidak meyangka individu dianggap adik sendiri sanggup membunuh anaknya yang ditemui mati kira-kira 3km dari rumahnya di Tanjung Medang Kemahang selepas hilang sejak 30 Januari lalu.

Solihah Abdullah, 35, berkata, dia terkejut apabila diberitahu pegawai penyiasat bahawa suspek yang mengaku membunuh anak ketiga daripada empat beradik yang dipanggil Baby itu melakukan jenayah tersebut atas faktor berdendam dengan mereka.

"Demi ALLAH saya tidak tahu apa masalah dia sampai simpan dendam sehingga menyebabkan Baby dibunuh dengan kejam dan diperlakukan sebegitu rupa.

“Kami sekeluarga melayannya dengan baik seperti adik sendiri, sanggup dia membalasnya begini. Biar ALLAH tentukan nasibnya dan saya serahkan kepada polis untuk tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemahang di sini, hari ini.

Menurutnya, dia sebenarnya sudah lama tidak bertemu dengan suspek yang berpindah ke kampung lain sejak dua tahun lalu dan terkejut melihat kelibatnya di kampung itu pada hari anaknya hilang.

“Malah dia masuk ke rumah saya kira-kira jam 7.30 malam dan mengambil telefon bimbit yang saya sedari hilang ketika hendak menghubungi ahli keluarga.

“Telefon bimbit saya ada bersama dengannya ketika ditangkap orang kampung, dia menafikan ada mengambil anak saya walaupun ada orang melihatnya bersama Baby pada petang anak saya hilang.

“Saya sendiri ada melihat kelibatnya di rumah lebih kurang 7.30 malam dan mengambil telefon bimbit saya, hanya selepas mayat anak ditemui baru dia mengaku membunuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Solihah berkata, sememangnya dia amat berharap anaknya itu masih hidup namun berita yang diterima sebaliknya ketika dimaklumkan penemuan mayat anaknya oleh orang kampung,

"Masa dapat tahu anak saya dijumpai penduduk, saya memeluknya sebab saya rindu tapi saya takut nanti saya gangu siasatan," katanya.

Bagaimanapun, suri rumah reda dengan takdir dan bersyukur kerana anaknya ditemukan dan boleh dikebumikan secara sempurna.

“Saya ada dipanggil ke Hospital Pekan untuk diambil darah bersama suami hari ini bagi membantu proses pemadanan DNA dengan anak saya. Saya berharap semua proses dapat diselesaikan dengan sempurna supaya anak saya dapat dikebumikan,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak 31 Januari lalu ditemui kira-kira 3km dari rumahnya di Kampung Kemahang, Tanjung Kemahang dipercayai mati dibunuh.

Mayatnya ditemui kira-kira jam 4 petang semalam oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan itu sebelum melaporkannya kepada polis.

ARTIKEL BERKAITAN:

Budak dibunuh kejam, organ dalaman hilang

Bunuh budak: Seorang lelaki warga asing ditahan

Siti Masitah dibunuh kerana dendam

'Pernah melutut, merayu agar suspek pulangkan Siti Masitah'