Pengasas 'Asmaul Husna Wan Maseri' mohon maaf, akui ajaran menyeleweng

Wan Maseri Wan Mohd
Wan Maseri Wan Mohd
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pengasas ajaran 'Asmaul Husna Wan Maseri' yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tampil mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas ajaran mengelirukan yang dibawa sebelum ini.

Dr Wan Maseri Wan Mohd secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.

Pengakuan sama dibuat dalam Mesyuarat Panel Pakar Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bersidang di Putrajaya pada Isnin.

Melalui pengakuan itu, beliau menjelaskan kenyataannya tentang Nabi Muhammad SAW tidak wujud adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Begitu juga dengan kenyataan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah hijab kita dengan ALLAH, tidak boleh berselawat kepada baginda dan tidak boleh memohon bermimpi baginda juga salah serta bertentangan dengan ajaran Islam.

"Saya juga mengaku bahawa kenyataan tentang semua orang Islam belum Islam selepas kewafatan Rasulullah juga terpesong," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajaran 'Asmaul Husna Wan Maseri' dirujuk Muzakarah MKI

Wan Maseri menjelaskan, kajian 99 Asmaul husna yang dijalankan tidak tepat dengan disiplin perolehan ilmu yang diperlukan syariat.

Artikel Berkaitan:

"Justeru saya menarik balik semua penulisan yang telah tersebar di kalangan masyarakat.

"Insya-ALLAH saya akan mengemukakan penulisan baharu yang akan terlebih dahulu melalui proses perolehan ilmu yang benar di sisi syariat," katanya.

Ajaran 'Asmaul Husna Wan Maseri' yang dibawa bekas pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu sebelum ini dirujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (Muzakarah MKI) kerana didakwa menyeleweng daripada ajaran Islam dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.