Jangan ragui status halal vaksin: Mufti

Umat Islam di negara ini tidak sepatutnya meragui status halal vaksin Covid 19 setelah pihak berkaitan memberi keyakinan tiada elemen haiwan terkandung di dalamnya. Gambar kecil: Wan Salim.
Umat Islam di negara ini tidak sepatutnya meragui status halal vaksin Covid 19 setelah pihak berkaitan memberi keyakinan tiada elemen haiwan terkandung di dalamnya. Gambar kecil: Wan Salim.
A
A
A

GEORGETOWN - Umat Islam di negara ini tidak sepatutnya meragui status halal vaksin Covid 19 setelah pihak berkaitan telah memberi keyakinan bahawa tiada elemen haiwan terkandung di dalamnya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam juga diminta tidak terpengaruh dengan golongan antivaksin berhubung penggunaan vaksin itu.

Beliau berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan berhubung perkara itu berikutan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah memutuskan bahawa hukum penggunaannya adalah harus untuk umat Islam.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dan bukan diputuskan secara melulu atau mengikut andaian yang tidak ditunjangi alasan atau hujah ilmiah kukuh.

“Memang amat mendukacitakan kerana masih ada dalam kalangan umat Islam di negara ini yang meragui status halal vaksin Covid-19 sedangkan MKI telah memutuskan ia halal digunakan.“Keputusan ini dibuat setelah mendengar taklimat disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan selain meneliti hasil kajian terperinci yang dijalankan oleh satu pasukan penyelidik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Wan Salim berkata, perlu diingatkan bahawa tujuan pengambilan vaksin tersebut adalah untuk mencegah jangkitan pandemik Covid-19 yang mengancam kesihatan awam sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Agama Islam mewajibkan umatnya mengambil langkah perlu untuk mengelak daripada terkena jangkitan penyakit, malah memelihara nyawa kerana ia termasuk dalam salah satu daripada matlamat syariah.

“Menolak pengambilan vaksin bererti mendedahkan diri kepada bahaya sedangkan sikap sebegini dilarang oleh syarak seperti yang difahami daripada ayat al-Quran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.