Meminjam ah long bukan jalan keluar

Iklan pinjaman wang haram yang dipercayai ditampal oleh sindiket ah long.
Iklan pinjaman wang haram yang dipercayai ditampal oleh sindiket ah long.
A
A
A

AKHBAR ini melalui satu laporan khas minggu lalu mendedahkan ramai yang terpaksa meminjam daripada ah long kerana desakan hidup sama ada diberhentikan kerja atau bisnes yang hampir gulung tikar akibat pandemik Covid-19.

Ah long merupakan istilah popular bagi ‘ceti haram’. Mereka juga dikenali dengan nama gelaran ‘lintah darat’ yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram pada kadar faedah yang sangat tinggi kepada si peminjam.

Ah long menawarkan proses pinjaman yang mudah, tanpa perlu menyediakan kertas kerja dan penyediaan pelbagai jenis dokumen lain.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor, Michael Tay mendedahkan, bagi tempoh PKP sahaja, dia menerima lebih 35 kes membabitkan masalah hutang akibat kehilangan pekerjaan termasuk perniagaan merosot terutama dalam kalangan golongan pertengahan sekitar kawasan bandar raya.

Apabila peminjam gagal membayar pada masa yang ditetapkan, ah long akan menyimbah atau menconteng dengan cat merah pada dinding rumah atau bangunan milik peminjam bertujuan mengugut mangsa sehinggalah si peminjam membayar hutangnya.

Walaupun amaran demi amaran telah dikeluarkan oleh pihak polis kepada orang ramai supaya jangan meminjam daripada ah long, namun ramai yang menjadi mangsa.

Meminjam daripada ah long bukan satu jalan keluar daripada dibelenggu hutang ataupun jalan untuk memulakan perniagaan kerana ia mungkin permulaan kepada detik hitam dalam hidup anda.

Justeru, tindakan kerajaan memudahkan syarat pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada minggu lalu merupakan khabar gembira kepada rakyat khususnya yang berhutang dengan ah long.

Artikel Berkaitan:

Gunakan wang tersebut untuk membayar kembali hutang tersebut. Janganlah pula membelanjakan kepada aktiviti-aktiviti yang lain seperti percutian, menukar perabot rumah, beli kereta baharu dan sebagainya. Jangan pula bila sudah dapat wang, terus lupa diri.

Begitu juga kalau ada berhutang dengan kawan-kawan atau sahabat handai, selesaikan hutang dengan mereka dahulu. Jangan buat-buat lupa.