Penjawat awam ditahan berparti liar

Polis turut merampas enam bungkus air ketum dalam serbuan sebuah apartment di Kampung Benggali, Butterworth pada awal pagi Ahad.
Polis turut merampas enam bungkus air ketum dalam serbuan sebuah apartment di Kampung Benggali, Butterworth pada awal pagi Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penjawat awam antara 10 individu yang ditahan ketika sedang leka berhibur dalam parti liar di sebuah apartment yang dijadikan enap desa di Kampung Benggali, Butterworth pada awal pagi Ahad.

Selain penjawat awam yang bekerja sebagai pembantu hospital itu, mereka yang ditahan juga bekerja sebagai pekerja kilang, pekerja kurier, pekerja syarikat swasta dan berniaga sendiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita itu ditahan dalam serbuan pada jam 1.10 pagi.

Menurutnya, polis menyerbu ke apartment tersebut selepas menerima maklumat awam selain menjalankan risikan berhubung sekumpulan individu sedang mengadakan parti liar di situ.

"Kesemua tangkapan berusia lingkungan 21 hingga 31 tahun itu ditahan ketika sedang leka berhibur dalam sebuah parti liar di sebuah inap desa yang disewa.

"Mereka turut didapati meminum air ketum sambil berhibur susulan penemuan enam bungkus dan sebotol air ketum di lokasi serbuan. Turut dirampas satu set pembesar suara," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, semua individu tersebut menyewa rumah itu selama tiga hari dua malam dengan bayaran RM300.

"Apartment itu dijadikan seperti pusat hiburan dengan muzik yang dipasang dengan kuat untuk mereka berhibur. Mereka menyewa apartment itu bagi mengelak ditahan polis susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Ketika serbuan, mereka baru menginap satu malam di situ. Mereka mengumpul wang antara satu sama lain untuk membayar sewa apartment, membeli keperluan untuk berhibur selain membeli air ketum," katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing kesemua tangkapan menunjukkan negatif.

"Kesemua tangkapan dikompaun RM1,000 kerana melanggar PKP iaitu berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah.

"Mereka juga direman tiga hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu memiliki air ketum," katanya.