20 pegawai terlibat aktiviti tidak bermoral akan diambil tindakan - Panglima Tentera Udara

Muhamad Nurazlan
Muhamad Nurazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengambil tindakan tegas terhadap 20 pegawainya yang dikenal pasti terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral di pangkalannya.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Nurazlan Aris berkata, TUDM akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Siasatan awal mendapati seramai 20 orang pegawai TUDM yang telah terlibat secara langsung di dalam aktiviti tidak bermoral ini.

"Perlu ditegaskan, budaya tidak sihat tersebut bukanlah suatu amalan bagi TUDM," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, pihak TUDM memandang serius sebarang perlanggaran terhadap perintah, direktif dan peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

Tegasnya, pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan mengarahkan siasatan dalaman segera dijalankan susulan dakwaan yang tular di media sosial membabitkan beberapa kem tentera.

Menurut kementerian itu, ATM telah diarahkan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan bersandarkan kepada beberapa video dan gambar yang memaparkan wanita berpakaian mencolok mata.

Dakwaan yang tular itu juga mendakwa penganjuran 'parti' dengan membawa wanita ke dalam kawasan kem.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • TUDM akan mengambil tindakan tegas terhadap 20 pegawainya yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral
  • Tindakan diambil menurut perundangan Angkatan Tentera Malaysia
  • Siasatan awal mendapati 20 pegawai terlibat
  • Pihak TUDM memandang serius pelanggaran terhadap peraturan
  • Kementerian Pertahanan mengarahkan siasatan dalaman menyusul dakwaan yang tular di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!