Jurang ilmu akibat Covid-19

Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Abdul Mutalib
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Abdul Mutalib
A
A
A

SUDAH lebih setahun dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sememangnya telah memberi impak besar terhadap sistem kehidupan manusia termasuklah sistem pendidikan.

Dianggarkan hampir 1.6 bilion pelajar di seluruh dunia mendapat kesannya dengan 23.8 juta kanak-kanak di seluruh dunia akan terus tercicir daripada sistem persekolahan sekiranya pandemik Covid-19 masih berlarutan.

Antara negara yang terkesan termasuklah Malaysia sendiri di mana terdapat golongan bawahan dan sederhana yang tidak dapat menjalani pembelajaran dengan baik ditambah pula dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

PdPR adalah suatu kaedah pembelajaran yang dilaksanakan di rumah atau di pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian serta dilaksanakan secara atas talian dengan berstruktur dan terancang.

Namun begitu, pembelajaran secara off site juga boleh dijalankan iaitu suatu kaedah di mana para guru akan menyediakan modul untuk para pelajar di bawah seliaan ibu bapa. Secara peribadinya sistem pembelajaran off-site ini amat baik dipraktikkan. Sistem pembelajaran cara baharu ibarat pembetung bagi mencari mekanisme terbaik bagi pembelajaran semasa PKP dengan penambahbaikan.

Sudah sampai masanya wawasan pendidikan negara mempunyai satu paradigma yang lebih segar di mana pelajar bukan sekadar dinilai berlandaskan peperiksaan semata-mata tetapi lebih menumpukan kepada keupayaan daya berfikir yang kreatif dan kritis.

Pelaksanaan pembelajaran dilihat berbeza antara sekolah dan di peringkat sekolah itu sendiri, perbezaan ini lebih ketara antara pelajar mengikut kemampuan ibu-bapa dan guru. Seperti yang dinyatakan tadi, jurang ilmu antara pelajar amat luas disebabkan Covid-19.

Faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini adalah faktor demografi. Dianggarkan sekitar 40 hingga 45 peratus pelajar di negara ini terdiri daripada golongan B40 atau golongan berpendapatan rendah.

Artikel Berkaitan:

Jika dahulu golongan miskin lebih berpusat di kawasan luar bandar atau pedalaman tetapi kini terdapat golongan yang dikenali sebagai‘miskin bandar’.

Sejajar dengan sifat PdPR yang memerlukan kesempurnaan digital, pelajar dalam kalangan keluarga B40 tersasar jauh dan tidak berupaya untuk mengikuti kelas yang disediakan oleh kementerian secara maya.

Ditambah dengan kedaifan persekitaran dan ibu bapa mereka yang buta pengetahuan digitalnya, anak-anak B40 terkapai-kapai mencari ilmu.

Cerita sedih ini turut dikongsi oleh pelajar orang asli dan kaum bumiputera di Sabah dan di Sarawak yang tinggal jauh di pedalaman. Selain itu ramai yang terlupa bahawa yang lebih terkesan saat pandemik melanda ini ialah pelajar OKU dan pelajar yang mengalami masalah pembelajaran. Hal ini demikian kerana PdPR tidak mengambil kira ketidaksediaan golongan ini untuk bergerak secara bebas dan berseorangan.

Semua pelajar terkesan oleh pandemik Covid-19. Bagi pelajar yang berkemampuan, mereka merupakan golongan yang bertuah berbanding dengan rakan mereka yang lain, yang kurang berkemampuan.

Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang sangat besar bagi memastikan lautan ilmu yang sepatutnya diraih oleh anak-anak tidak tertutup. Mereka perlu prihatin dan mengambil cakna terhadap keperluan pembelajaran anak-anak.

Di pihak pendidik, walaupun pelbagai tohmahan dilempar, masih ramai yang komited dalam menjalankan tugas dalam situasi sukar ini sungguhpun tidak dinafikan terdapat juga sebahagiannya yang bersikap sambil lewa.

Pendidik adalah wira negara. Pendidik adalah barisan hadapan dalam pendidikan. Pendidik perlu terus gigih berjuang dan menongkah arus mengharungi Covid-19 yang amat mencabar ini. Jangan cepat tewas dan putus asa.

* Dr Abdul Mutalib Embong ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Terengganu dan aktivis masyarakat