Covid-19: Tiga kampung kena buat ujian saringan

Gambar orang ramai hadir ke Dewan Terbuka Dato' Seri Idris Jusoh, Besut bagi menjalani ujian calitan yang tular dalam media sosial pada Khamis. - Foto Sumber media sosial
Gambar orang ramai hadir ke Dewan Terbuka Dato' Seri Idris Jusoh, Besut bagi menjalani ujian calitan yang tular dalam media sosial pada Khamis. - Foto Sumber media sosial
A
A
A

BESUT - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melakukan operasi Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) di mukim Darau di sini selama tiga hari bermula Khamis bagi mengesan kes positif Covid-19.

Pelaksanaan ACD itu membabitkan seramai 2,152 penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Lepan Kejor, Kampung Darau/Awek dan Kampung Padang Baloh susulan Kluster Jalan Kubur Darau yang dikesan pada 6 Februari lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak mengesahkan pelaksanaan ujian calitan besar-besaran di kawasan tersebut.

“Ada kes indeks merebak di situ, jadi kita buat ujian saringan kepada semua orang untuk pengesanan kontak rapat kes,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Pada Khamis, tular dalam media sosial mengenai satu makluman bahawa penduduk tiga kampung di mukim Darau diminta hadir menjalani ujian calitan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Februari.

Mengikut makluman itu, persampelan Covid-19 itu diadakan di tiga lokasi iaitu Dewan Makan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Dewan Terbuka Dato' Seri Idris Jusoh dan Dewan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS).

Makluman pelaksanaan ACD di mukim Darau selama tiga hari bermula Khamis yang tular dalam media sosial.
Makluman pelaksanaan ACD di mukim Darau selama tiga hari bermula Khamis yang tular dalam media sosial.

Selain itu, beberapa keping gambar sekatan jalan raya oleh anggota polis di sekitar mukim berkenaan turut tular sejak pagi Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Darau berkata, dia mengetahui mengenai arahan menjalani ujian saringan selepas diumumkan melalui pembesar suara van pejabat kesihatan daerah pada pagi Khamis.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu, dia sekeluarga bersama bapa, ibu, suami, adik dan empat anak akan melakukan ujian tersebut pada Jumaat di Dewan Terbuka Dato' Seri Idris Jusoh berikutan masih bekerja.

“Adik sudah pergi pagi tadi (Khamis) tapi dia minta pergi bersama satu keluarga esok (Jumaat), tambahan pula hari ini (Khamis) orang sangat ramai, sudah penuh.

“Mereka tidak paksa, tapi saya sekeluarga sukarela mahu buat bagi mengetahui status kesihatan kami, apatah lagi ujian ini secara percuma. Walaupun kami sekeluarga sihat dan tiada gejala, tapi bimbang juga,” katanya.