Ummah Kedah mahu polis siasat Salahuddin ditawar habuan

Noor Hakimi menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Yan berhubung pendedahan Salahuddin.
Noor Hakimi menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Yan berhubung pendedahan Salahuddin.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Ummah Kedah mahu siasatan dilakukan terhadap bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung dakwaannya pernah ditawar percutian mewah oleh syarikat kartel daging ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Pengasasnya, Noor Hakimi Ab Halim berkata, pendedahan Salahuddin itu merupakan suatu kesalahan kerana melanggar Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurutnya, berdasarkan akta berkenaan, ia mewajibkan pegawai badan awam yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan untuk melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu kepada pegawai SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdekatan.

“Pada pagi Selasa, ketika saya berada di rumah, saya membaca berita berkenaan Salahuddin dakwa dia pernah ditawarkan percutian mewah dan bekas menteri itu menolak pelawaan supaya ‘kartel’ jadi pilihan utama kementerian,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Yan meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu yang disifatkan sebagai satu kesalahan serius.

“Di dalam akhbar ada melaporkan mengenai Salahuddin menolak tawaran percutian kelas pertama ke Eropah dari sebuah syarikat kartel daging import selepas beberapa bulan dilantik ke jawatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pengakuan Salahuddin itu menyebabkan beliau perlu disiasat bawah Seksyen 25 (2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan, kegagalan untuk melaporkan transaksi penyogokan adalah suatu kesalahan yang ‘apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 atau kedua-duanya’.

Noor Hakimi berkata, kesalahan dilakukan Salahuddin serius kerana beliau adalah mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, selain memegang jawatan lain seperti Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Ahli Parlimen Pulai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan mempunyai ramai pengikut.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Salahuddin mendedahkan beliau pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika menjadi menteri.

Beliau berkata, tawaran tersebut diberikan ketika mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Salahuddin bagaimanapun merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan yang sepatutnya menjadi sesi perkenalan antara menteri dan pemain industri itu apabila ditawarkan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

ARTIKEL BERKAITAN: Salahuddin dedah pernah ditawar percutian mewah daripada kartel daging