Salahuddin dedah pernah ditawar percutian mewah daripada kartel daging

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Salahuddin Ayub mendedahkan beliau pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport yang mempunyai kaitan dengan kartel daging ketika menjadi menteri.

Memetik laporan New Straits Times pada Selasa, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, tawaran tersebut diberikan ketika beliau mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Salahuddin berkata, beliau mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan yang sepatutnya menjadi sesi perkenalan antara menteri dan juga pemain industri itu apabila ditawarkan dengan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

“Mereka menawarkan pakej percutian mewah kepada saya dan keluarga. Perjalanan berbayar untuk Eropah tetapi saya terpaksa menolak,” katanya.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, beliau tidak membuat sebarang laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana tidak jelas dengan maksud sebenar tawaran tersebut dan syarikat berkenaan juga tidak meminta apa-apa sebagai balasan.

Artikel Berkaitan: