X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP dakwa syarikat jual ‘Android Box’

Kenyataan akhbar KPDNHEP pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Sebuah syarikat penjual peranti dan perkakasan di sini menjadi syarikat pertama didakwa atas kesalahan mempromosikan perkakasan dan perisian TV yang dikenali sebagai ‘Android Box’.

Dalam satu kenyatan pada Rabu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, peralatan tersebut boleh menyebabkan berlakunya pintasan ke atas langkah perlindungan teknologi terhadap karya siaran pemilik hak cipta di premis berkenaan.

“Berdasarkan pertuduhan, syarikat terbabit pada 2 September 2020, kira-kira jam 4.55 petang didakwa dalam perjalanan untuk menjual peranti TV Android Box jenama 'Long TV' di Shah Alam yang mengandungi saluran kandungan karya siaran pemilik hak cipta tanpa kebenaran.

“Oleh itu, syarikat yang beralamat di I-City, Seksyen 7 melanggar seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987 kerana menjual apa-apa teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3), akta yang sama,” menurut kenyataan itu.

Pengarah syarikat terbabit mengaku salah di atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Rofiah Ahmad ketika dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Jenayah 8, di sini pada 8 Februari 2021dan telah menetapkan tarikh hukuman pada 1 Mac 2021.

Pendakwaan bagi kes tersebut dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP, Tuan Tan Chiew King.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan dengannya kesalahan telah dilakukan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

KPDNHEP memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap pembekal dan penjual yang menyalahgunakan peranti serta perisian dengan tujuan memintas dan mengakses kandungan yang dilindungi pemilik karya hak ciptanya secara haram.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penjualan peranti TV Android Box yang mengandungi aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmatan penstriman kandungan cetak rompak,” menurut kenyataan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!