Pusat tuisyen diminta dibuka segera jika Covid-19 terkawal

PPPTMM mendakwa sebahagian besar ibu bapa bimbang terhadap pencapaian anak-anak mereka yang kian merosot susulan penutupan sekolah dan institusi pendidikan seperti pusat tuisyen dalam tempoh lama. - Gambar hiasan 123RF
PPPTMM mendakwa sebahagian besar ibu bapa bimbang terhadap pencapaian anak-anak mereka yang kian merosot susulan penutupan sekolah dan institusi pendidikan seperti pusat tuisyen dalam tempoh lama. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM) memohon agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pembukaan semula pusat tuisyen pada kadar segera sebelum pembukaan sekolah jika keadaan pandemik Covid-19 kembali terkawal.

Pengerusinya, Mohd Noor Shafizzal Termizi berkata, ia kerana sebahagian besar ibu bapa menzahirkan kebimbangan terhadap pencapaian anak-anak mereka yang kian merosot.

Menurutnya, ia susulan penutupan sekolah dan institusi pendidikan seperti pusat tuisyen dalam tempoh lama.

"Kebimbangan ibu bapa diketahui berdasarkan tinjauan yang dilakukan pihak kami.

"Seperti yang kita sedia maklum, tuisyen merupakan salah satu industri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Noor Shafizzal berkata, walaupun sesi persekolahan dibuka semula ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun ekoran peningkatan kes secara mendadak ia mendorong kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak.

Menurutnya, keadaan itu menjejaskan beberapa pengusaha pusat tuisyen yang baru sahaja menarik nafas lega susulan kebenaran operasi semasa tempoh PKPP.

Jelasnya, ada antara pengusaha juga terpaksa gulung tikar susulan pelaksanaan semula PKP pada awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, semua 60 pengusaha pusat tuisyen berdaftar di seluruh negara tetap menyambut baik arahan daripada KPM untuk menghentikan operasi dalam kawasan PKP.

"Kami akur dengan arahan KPM dengan tidak membuka kelas tuisyen secara bersemuka bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 ini. Malah ada antara pengusaha mengambil inisiatif dengan menjalankan kelas secara maya," katanya.